
PRN MELAKA: LIMA TAHUN BERKHIDMAT, BUKAN BARU 14 HARI CARI UNDI – TOK AJAK
TELOK MAS 3 November – Khidmat kepada rakyat tidak seharusnya bermusim atau hanya giat dilaksanakan ketika pilihan raya, sebaliknya perlu diteruskan sepanjang masa sebagai bukti komitmen wakil rakyat kepada masyarakat.
Itu pendekatan yang diketengahkan calon Barisan Nasional (BN) N.23 DUN Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Tok Ajak, yang menegaskan usaha mendekati masyarakat khususnya golongan muda telah dilaksanakan secara berterusan sepanjang lima tahun tempoh pentadbiran.
Menurutnya, pelbagai program membabitkan golongan remaja dan belia termasuk aktiviti sukan, riadah serta kemasyarakatan dianjurkan bagi memastikan hubungan dengan penduduk terus terpelihara.
“Kita (BN) sudah berkempen bukan dua minggu, tetapi lima tahun (tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri).
“Maksudnya, kita sudah tunjukkan perkhidmatan dan apa yang patut kita lakukan untuk golongan dewasa, remaja, anak-anak sekolah dan sebagainya, dan pada 14 November ini rakyat akan menterjemah kepercayaan kepada undian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan BN DUN Telok Mas, Bukit Punggor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Razak yang juga calon nombor dua DUN Telok Mas berkata, sepanjang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, beliau memberi perhatian kepada pelaksanaan pelbagai program yang memenuhi keperluan golongan muda menerusi aktiviti sukan, riadah dan program kemasyarakatan.
Katanya, tempoh 14 hari yang diperuntukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanyalah tempoh rasmi berkempen, sedangkan tanggungjawab mendekati masyarakat dan menyampaikan khidmat kepada rakyat perlu dilaksanakan secara berterusan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


