PRN MELAKA : CALON PRN MELAKA PERLU BERKEMPEN SECARA BERSIH – AHMAD ZAHID

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

RIM 3 November – Semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 diminta berkempen secara baik dan bersih tanpa menjadikan isu berbangkit sebagai polemik yang boleh mencetuskan ketegangan sepanjang tempoh proses demokrasi itu berlangsung.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap pihak perlu menghormati proses demokrasi dan memberi ruang kepada pengundi membuat pilihan masing-masing pada 14 November ini.

“Saya tidak nampak adanya permasalahan itu sebab mereka (pihak lawan) juga ada yang mengadakan majlis yang dihadiri timbalan menteri atau menteri mereka.

“Saya harap kita berkempen secara baik-baik, secara bersih dan rakyat telah ada pilihan masing-masing.

“Jangan disebabkan oleh perkara-perkara itu menjadi titik bengis untuk dijadikan sebagai alasan yang pelbagai. Ini sebuah negara demokrasi, kita bertanding mengikut peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan penggunaan premis kerajaan yang mencetuskan polemik selepas Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar, berhubung dakwaan menggunakan premis dan jentera kerajaan ketika berkempen.

Terdahulu Ahmad Zahid telah merasmikan Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA 2026 Negeri Melaka di Dewan MPJ Alamanda Jasin, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang; Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pengarah MARA Ir. Dr. Mahzan Teh dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut sama ada isu berkenaan dilihat sebagai cubaan sabotaj, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perkara sedemikian tidak perlu diperbesarkan kerana ia mungkin dibangkitkan oleh pihak yang berasa terdesak.

“Kalau sesuatu kumpulan itu berasa terdesak, mereka akan mencari pelbagai alasan, mencari pelbagai perkara kerana mungkin mereka sangat terdesak dan saya tidak fikir itu perlu kita gembar-gemburkan.

“Kita harap perkara-perkara yang tidak perlu ditimbulkan itu tidak dipanjangkan. Yang penting 14 November nanti kita lihat ke mana arah sokongan yang diberikan oleh pengundi-pengundi di negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

155
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: MELAKA BUKAN NEGERI KRITIKAL, TAPI ‘PERFORMANCE STATE’ – AB RAUF
Next post PRN MELAKA: MISI MENANG 25 KERUSI, BN-PN MAHU LUASKAN PENGUASAAN