PRN MELAKA: MANIFESTO BERSAMA BN-PN DILANCAR JUMAAT INI

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER MOLEK 3 November – Manifesto bersama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 akan dilancarkan Jumaat ini, jam 5 petang di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, manifesto itu akan menjadi landasan kepada kedua-dua parti dalam mengemukakan tawaran serta hala tuju pentadbiran negeri sekiranya diberikan mandat pada pilihan raya kali ini.

Menurutnya, kesepakatan BN dan PN bukan sahaja perlu diterjemahkan menerusi manifesto bersama, malah turut melibatkan penyelarasan gerak kerja kempen, bilik gerakan serta usaha meraih sokongan pengundi.

“Jadi dalam kesepakatan ini, kita menggalakkan supaya kebersamaan ini mesti ditunjukkan pertama dalam bentuk gerak kerja, yang kedua dalam bentuk kebersamaan dalam meraih undi dan juga bilik gerakan dan manifesto yang sama.

“Saya nak maklumkan bahawa manifesto untuk Barisan Nasional Negeri Melaka dan Perikatan Nasional akan dilancarkan pada hari Jumaat pukul 5 petang di MITC,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan BN DUN Ayer Molek di Taman Tambak Paya Harmoni, di sini, hari ini.

Hadir sama, calon BN DUN Ayer Molek Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; calon PN DUN Bukit Katil Ridzuan Sarif serta lain-lain kenamaan.

Mengulas kandungan manifesto berkenaan, Ab Rauf berkata, antara asas pembentukannya ialah dapatan daripada program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang diterjemahkan kepada dasar berdasarkan keperluan dan permasalahan masyarakat.

Katanya, pendekatan itu membolehkan aspirasi rakyat yang dikenal pasti menerusi program berkenaan dijadikan panduan dalam merangka tawaran serta dasar yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran negeri.

“Jadi saya tak nak berbahas apa yang dia boleh buat, mungkin dia boleh buat lebih baik daripada kita, tapi kita juga boleh buat yang terbaik untuk rakyat. Jadi dia cara dia, kita cara kita.

“UMNO, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional tetap dengan pendirian kita, cara kita, gaya kita dan kita buktikan bahawa kita juga boleh memberikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

257
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: AB RAUF SANGKAL DAKWAAN BELANJA NEGERI NAIK TIGA KALI GANDA
Next post JENTERA BN, PAS SALING MELENGKAPI DI TANGGA BATU – RAIS