
PRN MELAKA: AB RAUF SANGKAL DAKWAAN BELANJA NEGERI NAIK TIGA KALI GANDA
PENGKALAN BATU 3 November – Kerajaan Negeri tidak pernah membelanjakan peruntukan melebihi pendapatan yang diterima sepanjang tempoh pentadbirannya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka menegaskan, dakwaan perbelanjaan negeri meningkat sehingga tiga kali ganda seperti dibangkitkan calon parti lawan perlu dilihat berdasarkan keseluruhan prestasi pentadbiran Kerajaan Negeri.
Menurutnya, sepanjang tempoh pentadbiran beliau, Melaka turut mencatatkan pencapaian pelaburan tertinggi dengan nilai RM14.8 bilion.
“Saya tak tahu daripada mana maklumat yang diberikan tadi. Kalau kita lihat pada sudut pandangan mereka, memang mereka akan mencari 1,001 alasan untuk merendahkan keupayaan Kerajaan Negeri.
“Sedangkan sepanjang tempoh saya mengurus tadbir negeri, kita buat pertama kalinya menerima pelaburan terbesar dalam negeri Melaka iaitu RM14.8 bilion. Soal pendapatan Kerajaan Negeri juga kita tak pernah melihat bahawa perbelanjaan kita melebihi daripada pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan BN DUN Pengkalan Batu, Peringgit, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka merangkap penyandang kerusi DUN Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin; calon BN DUN Pengkalan Batu Siti Aisyah Mahmood serta lain-lain kenamaan.
Mengulas kritikan terhadap pentadbirannya, Ab Rauf berkata, dirinya tidak terlalu mengambil perhatian terhadap pandangan pihak yang disifatkannya mempunyai kecenderungan memburukkan pihak lawan.
“Bagi saya, kata orang Melayu, nak tahu baik orang, tanya kawan dia. Nak tahu jahat orang, tanya musuh dia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


