JENTERA BN, PAS SALING MELENGKAPI DI TANGGA BATU – RAIS

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

SUNGAI UDANG 3 November – Jentera Barisan Nasional (BN) dan PAS bersama rakan strategik di Parlimen Tangga Batu saling melengkapi menerusi gerak kerja bersama mendekati pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Timbalan Pengerusi BN Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, kerjasama itu bukan sekadar melibatkan pimpinan kedua-dua parti, malah turut diterjemahkan menerusi gerak kerja di peringkat akar umbi termasuk membantu calon turun bertemu pengundi di pusat daerah mengundi (PDM).

Menurutnya, antara contoh kerjasama itu dapat dilihat di DUN Paya Rumput apabila jentera BN secara berterusan membantu calon PAS menggerakkan kempen dan mendekati pengundi di kawasan berkenaan.

“Kalau kita lihat di Paya Rumput sendiri, jentera Barisan Nasional tidak putus-putus membawa calon daripada PAS ini bergerak turun ke PDM-PDM dan bertemu dengan pengundi,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu merangkap calon BN DUN Sungai Udang berkata demikian selepas menyempurnakan gimik Pelancaran Pemasangan Bendera Jentera Pemuda BN Parlimen Tangga Batu di Pusat Gerakan di sini, pada Ahad.

Rais berkata, komitmen PAS turut ditunjukkan menerusi penglibatan pimpinan parti itu dalam beberapa program dan aktiviti kempen BN, termasuk ketika proses penamaan calon.

“Ketika penamaan calon saya sendiri, saya diiringi bersama oleh Naib Presiden UMNO dan Naib Presiden PAS. Saya rasa itu menunjukkan betapa PAS komited untuk bergerak seiring,” katanya.

Katanya, hubungan kerjasama itu turut diperkukuh di peringkat kawasan apabila Pengerusi MCA Melaka merangkap calon BN DUN Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong mengadakan pertemuan dengan pimpinan PAS kawasan.

Selain itu, penglibatan wakil PAS juga dapat dilihat dalam gerak kerja kempen calon BN DUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi, termasuk menerusi kehadiran mereka dalam program bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di kawasan berkenaan.

Mengulas keperluan menambah petugas PAS bagi membantu kempen di Tangga Batu, Rais berkata, keutamaan ketika ini adalah menggembleng kekuatan jentera kedua-dua parti secara bersama.

Beliau yakin jentera BN di Parlimen Tangga Batu mempunyai kekuatan tersendiri, manakala pengalaman serta jaringan akar umbi PAS yang telah lama bertapak di Melaka mampu melengkapkan gerak kerja kempen di kawasan berkenaan.

“Saya yakin Barisan Nasional di Tangga Batu ini mempunyai jentera yang baik dan insya-Allah kita boleh buat.

“Apabila adanya jentera daripada PAS yang kita tahu mereka juga telah berakar umbi sekian lama dalam Negeri Melaka ini, jadi kita akan saling melengkapi untuk bergerak di seluruh kawasan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

175
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: MANIFESTO BERSAMA BN-PN DILANCAR JUMAAT INI
Next post PRN MELAKA: MELAKA BUKAN NEGERI KRITIKAL, TAPI ‘PERFORMANCE STATE’ – AB RAUF