
PRN MELAKA: AB RAUF JAWAB ISU CALON RIM, SERAH PIHAK BERKUASA SIASAT
PENGKALAN BATU 3 November – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan penggunaan premis dan kemudahan kerajaan yang dikaitkan dengan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal yang diterimanya, premis berkenaan merupakan lokasi yang digunakan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bagi menyalurkan bantuan kepada masyarakat.
Menurutnya, kehadiran Khaidhirah atau lebih dikenali sebagai Dira di kawasan berkenaan adalah untuk meninjau keadaan petugas ketika proses pengundian pos berlangsung dan tidak mempunyai kaitan dengan dakwaan yang dibangkitkan.
“Jadi, saya mendapat maklumat bahawa semalam ialah hari undi pos. YB Dira (Khaidhirah) datang melawat kawasan mereka dan tidak ada kena-mengena pun dengan YB Dira.
“Tetapi saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan memperincikan perkara ini. Terserahlah kepada kebijaksanaan pihak berkuasa untuk menilai keberadaan Datuk Dira di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan BN DUN Pengkalan Batu, Peringgit, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka merangkap penyandang kerusi DUN Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin; calon BN DUN Pengkalan Batu Siti Aisyah Mahmood serta lain-lain kenamaan.
Terdahulu, timbul dakwaan berhubung kehadiran Khaidhirah dalam program penyampaian sumbangan sempena Deepavali di Kompleks JaperunΒ Rim yang dikaitkan dengan penggunaan premis serta kemudahan kerajaan ketika tempoh berkempen.
Dakwaan itu turut menyaksikan pihak Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis bagi meminta perkara berkenaan disiasat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


