PRN MELAKA: AB RAUF PERJELAS PUNCA PROJEK TERBENGKALAI, SEDIA BANTU PULIHKAN

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER MOLEK 3 November – Projek pembangunan terbengkalai di Melaka mempunyai latar belakang dan punca berbeza, sekali gus memerlukan pendekatan bersesuaian bagi memastikan usaha pemulihannya dapat dilaksanakan secara berperingkat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, projek berkenaan merangkumi pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan serta inisiatif swasta yang mempunyai kaedah pelaksanaan dan tanggungjawab berbeza.

Menurutnya, projek Kerajaan Persekutuan lazimnya diselaraskan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), manakala projek inisiatif swasta bergantung kepada keupayaan syarikat yang diberikan konsesi untuk melaksanakannya.

“Projek-projek ini ada dua kaedah, pertama projek negeri dan satu lagi projek persekutuan. Biasanya di bawah Persekutuan ini segala projek diuruskan oleh ICU yang mengenal pasti kawasan-kawasan tumpuan untuk dibangunkan.

“Manakala projek seperti monorel dan tambak laut adalah projek ‘private initiative’ yang diberikan konsesi kepada syarikat swasta untuk melabur di Melaka,” katanya ketika menjawab mengenai naratif yang cuba dimainkan pihak lawan mengenai projek terbengkalai di Melaka.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan DUN Ayer Molek, di sini, hari ini.

Hadir sama, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan calon Perikatan Nasional (PN) DUN Bukit Katil, Ridzuan Sarif.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, sebahagian projek inisiatif swasta berdepan masalah pelaksanaan berikutan kekangan keupayaan kewangan syarikat, termasuk kesan kemerosotan ekonomi dunia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Kerajaan Negeri sedang mengusahakan langkah pemulihan terhadap projek berkenaan dan tidak hanya menumpukan kepada usaha mencari kesalahan pentadbiran terdahulu.

“Saya mengatakan bahawa segala usaha untuk memulihkan semula projek ini sedang saya jalankan dan insya-Allah kalau diizinkan Allah SWT, saya diberi mandat, sebaik mungkin projek-projek yang terbengkalai ini akan dipulihkan secara beransur-ansur mengikut kesesuaian faktor ekonomi semasa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa projek Arab City merupakan pelaburan syarikat persendirian yang dibangunkan berasaskan konsep bandar bertemakan Arab dan bukan dilaksanakan secara langsung oleh Kerajaan Negeri.

Sehubungan itu, Ab Rauf berharap masyarakat memahami perbezaan kategori serta latar belakang projek pembangunan berkenaan dan tidak membuat kesimpulan bahawa semua projek terbengkalai berpunca daripada kelemahan pengurusan Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

347
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: MISI MENANG 25 KERUSI, BN-PN MAHU LUASKAN PENGUASAAN
Next post PELABURAN RM28.96 BILION BERPOTENSI WUJUDKAN 25,100 PEKERJAAN DI MELAKA – TPM