
408 RAKAN INDUSTRI PERKUKUH PELUANG KERJAYA ANAK MELAKA – TPM
RIM 3 November – Jaringan kerjasama institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Melaka bersama 408 rakan industri merentasi 18 sektor utama menjadi platform penting untuk menyediakan tenaga mahir tempatan mengikut keperluan pasaran pekerjaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jaringan itu perlu dimanfaatkan bagi menyelaraskan latihan dengan teknologi semasa serta menyediakan pendedahan dan penempatan pelatih di tempat kerja sebenar.
“Saya bangga melihat komitmen Kerajaan Negeri turut memperkukuh usaha ini.
“Peruntukan khas RM10 juta bagi pembangunan Melaka ‘TVET Centre of Excellence’ mesti dimanfaatkan untuk meningkatkan mutu latihan dan menyediakan tenaga mahir yang diperlukan industri negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Pendidikan Tinggi & TVET MARA 2026 Negeri Melaka di Dewan MPJ Alamanda Jasin, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang; Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pengarah MARA Ir. Dr. Mahzan Teh dan kenamaan lain.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, kerjasama MARA menerusi Malaysia-China Institute dengan Samsung SDI Energy Malaysia dalam industri bateri kenderaan elektrik (EV) boleh dijadikan contoh bagaimana keperluan majikan dihubungkan secara langsung dengan persediaan graduan.
Katanya, pendekatan seumpama itu perlu diperluas di Melaka menerusi lebih banyak kolaborasi antara institusi latihan dengan pemain industri supaya laluan kerjaya dapat disediakan kepada pelajar sebelum mereka menamatkan pengajian.
“Kita mahu graduan ada penempatan bila sudah selesai belajar, betul? Kita mahu bila sudah habis belajar terus dapat gaji premium, betul?” katanya.
“Asasnya sudah ada, insya-Allah, jika mandat diberikan kembali, kita akan memperkukuh usaha ini supaya anak-anak Melaka dapat membina kerjaya dan menikmati kemajuan di tanah kelahiran sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


