
BINA KEPAKARAN PENSYARAH, RINTIS JABATAN KUANTUM UiTM – TPM
LENDU 3 November – Pensyarah berlatar belakang teknologi maklumat (IT) dan digital di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dicadang mengikuti pengajian lanjutan atau kursus pendek dalam teknologi kuantum bagi membina kepakaran untuk menerajui jabatan baharu dalam bidang berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata persediaan tenaga pengajar menjadi langkah awal untuk membangunkan Jabatan Teknologi Kuantum sebelum diperluaskan kepada sebuah fakulti pada masa depan.
Menurutnya, pensyarah dalam bidang berkaitan boleh dikenal pasti untuk mengikuti pengajian peringkat sarjana, kedoktoran atau kursus pendek bagi membina kepakaran tersebut.
“Mula-mula latihan untuk tenaga pengajar dahulu, ertinya tenaga pensyarah itu dihantar untuk membuat sarjana atau PhD (ijazah doktor falsafah) ataupun kursus pendek agar mereka yang ada latar belakang IT dan digital dapat menjadi peneraju kepada jabatan dan fakulti teknologi kuantum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Apa Khabar Mahasiswa? (Patriotisme Diperkasa) bersama AZH di Dewan Menara Taming Sari, UiTM Melaka Kampus Alor Gajah, di sini, hari ini.
Program dikendalikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Ahmad Zahid berkata, penubuhan jabatan berkenaan dicadangkan bermula seawal semester tahun depan sebagai persediaan negara menghadapi perkembangan teknologi baharu.
Beliau berkata, UiTM dipilih berdasarkan rangkaian kampusnya di seluruh negara serta jumlah pelajar yang ramai selain keyakinannya terhadap keupayaan universiti itu menyediakan tenaga pengajar dalam bidang berkaitan.
“UiTM saya pilih kerana kampus-kampusnya di seluruh negara dan jumlah pelajar juga ramai.
“Saya yakin mereka akan dapat mencari pensyarah-pensyarah yang ada dalam bidang IT dan dalam bidang digital ini untuk dihantar bagi menyambung pengajian mereka di bidang sarjana ataupun kedoktoran supaya negara kita tidak ketinggalan dalam bidang teknologi kuantum ini,” katanya.
Menurutnya, pembangunan teknologi baharu, khususnya menerusi penyelidikan dan pembangunan perlu diberikan perhatian supaya Malaysia berupaya menjadi pencipta teknologi.
Beliau menyifatkan teknologi sebagai ‘mata wang baharu’ manakala tenaga dan bakat dalam bidang berkenaan mempunyai peranan penting untuk melonjakkan kemajuan teknologi negara.
Media sebelum ini melaporkan, cadangan penubuhan Jabatan Kuantum di UiTM pernah disuarakan beliau pada 4 Oktober lalu di Shah Alam, Selagor dengan sasaran pelaksanaannya pada 2027.
Media sebelum ini melaporkan, beliau turut mengumumkan sumbangan RM500,000 bagi menyokong beberapa inisiatif UiTM, termasuk program latihan dan pensijilan TVET, pensijilan AI serta pembangunan Jabatan Kuantum.
Teknologi kuantum memanfaatkan prinsip fizik pada skala atom dan subatom untuk membangunkan keupayaan baharu dalam pengkomputeran, komunikasi serta penderiaan berketepatan tinggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


