PRN MELAKA: ‘TOK JEZ’ MAHU RTC SUNGAI RAMBAI KEMBALI BERNYAWA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

TANJUNG BIDARA 3 November – Menghidupkan semula bangunan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai yang dilihat tidak dimanfaatkan sepenuhnya menjadi antara fokus calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Jezlee Pit.

Jezlee yang lebih mesra dengan panggilan Tok Jez berkata, bangunan RTC berkenaan mempunyai potensi untuk dimanfaatkan semula menerusi perancangan dan pembangunan bersesuaian demi kepentingan serta kesejahteraan masyarakat setempat.

Menurutnya, terdapat pelbagai isu dan keperluan di DUN Sungai Rambai yang memerlukan penelitian serta perancangan rapi sebelum langkah pembangunan dapat dilaksanakan.

“Sekiranya diberi mandat, penambahbaikan pentadbiran di DUN ini turut menjadi antara keutamaan bagi memastikan pelbagai keperluan dan permasalahan masyarakat dapat diberi perhatian.

“Pengalaman saya berkhidmat selama 24 tahun dalam sektor awam akan dimanfaatkan sebaik mungkin khususnya dalam aspek kebajikan, pembangunan infrastruktur dan sosial.

“Insya-Allah, kita cuba selesaikan sebaik mungkin dan saya akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Sungai Rambai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau yang juga calon nombor satu bagi kerusi DUN Sungai Rambai berkata, sektor agro-pelancongan turut mempunyai potensi untuk dikembangkan berdasarkan keaslian dan keunikan lokasi menarik yang terdapat di Sungai Rambai.

Katanya, pembangunan sektor itu bukan sahaja berupaya menarik lebih ramai pelancong, malah berpotensi membuka peluang ekonomi dan menambah pendapatan masyarakat di kampung sekitar.

“Selain itu, kita turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan sektor pendidikan, sosial dan pelancongan yang akan digariskan dalam manifesto bagi DUN Sungai Rambai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

286
Kongsi :
Previous post BINA KEPAKARAN PENSYARAH, RINTIS JABATAN KUANTUM UiTM – TPM
Next post BERBEZA PEGANGAN POLITIK BUKAN ALASAN HUKUM MAHASISWA – AHMAD ZAHID