BUKA PELUANG KEDUA KEPADA KLIEN PUSPEN DALAM SEKTOR AGRIKOMODITI

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

PANTAI KUNDOR 3 November – Klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) berpeluang memperoleh kemahiran dalam sektor agrikomoditi menerusi cadangan kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kerjasama yang sedang diteliti itu bertujuan membuka ruang kepada klien PUSPEN mengikuti latihan kemahiran dalam bidang komoditi sebagai persediaan mendapatkan pekerjaan selepas kembali ke pangkuan masyarakat.

Katanya, sektor agrikomoditi memerlukan tenaga kerja mahir dan peluang latihan sewajarnya perlu diperluas, termasuk kepada golongan yang sedang berusaha membina semula kehidupan.

“Sektor agrikomoditi memerlukan tenaga kerja yang mahir. Oleh itu bagi KPK peluang untuk menguasai kemahiran ini perlu dibuka seluas-luasnya termasuk kepada mereka yang sedang membina semula kehidupan.

“Atas semangat itu, KPK sedang meneliti kerjasama dengan agensi seperti AADK melalui PUSPEN. Malah menerusi kerjasama ini, klien PUSPEN akan diberikan latihan kemahiran dalam bidang komoditi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Salam Agrikomoditi MADANI @Melaka yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Hang Lekir, Tanjung Kling, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja dapat memperluas akses latihan kemahiran kepada klien PUSPEN, malah membantu mereka membina kehidupan lebih berdikari dan kembali menyumbang kepada keluarga serta negara.

“Kemahiran ini nanti mampu membuka jalan kepada pekerjaan dan pendapatan apabila mereka kembali ke pangkuan masyarakat.

“Malah pada masa yang sama ia membantu menampung keperluan tenaga kerja tempatan di sektor perladangan.

“Ini adalah peluang kedua yang bermakna kerana bukan sahaja dapat berdikari tetapi menyumbang semula kepada keluarga serta negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

383
Kongsi :
Previous post BERBEZA PEGANGAN POLITIK BUKAN ALASAN HUKUM MAHASISWA – AHMAD ZAHID
Next post 50 DEPOH LATEKS BAHARU DISASAR DIBINA MENJELANG 2027