50 DEPOH LATEKS BAHARU DISASAR DIBINA MENJELANG 2027

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PANTAI KUNDOR 3 November – Kerajaan menyasarkan pembinaan 50 depoh susu getah (lateks) baharu di seluruh negara menjelang tahun hadapan bagi meningkatkan kapasiti pengumpulan hasil sekali gus mengurangkan kebergantungan industri getah tempatan terhadap bahan mentah import.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM), susulan keperluan mengurangkan import lateks yang kini dianggarkan bernilai RM7 bilion setahun.

Menurutnya, sebanyak 137 lokasi dikenal pasti untuk pembangunan depoh lateks bagi menyelaraskan urusan pengumpulan dan pembelian hasil pekebun kecil.

“Daripada jumlah itu, 30 depoh telah dimulakan dan pada tahun hadapan kita akan menambah kira-kira 50 lagi.

“Langkah ini juga bagi meningkatkan pengeluaran lateks tempatan, memperkukuh rantaian bekalan bahan mentah termasuk mengurangkan kebergantungan terhadap import bagi memenuhi keperluan industri berasaskan getah dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Program Salam Agrikomoditi MADANI @Melaka di Dewan Hang Lekir, Tanjung Kling, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; calon Barisan Nasional (BN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin serta penyandang DUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Sementara itu dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, Kerajaan turut merancang memperluaskan penggunaan teknologi baharu, iaitu puncher tapping, bagi membantu pekebun kecil getah meningkatkan pendapatan, khususnya ketika musim tengkujuh.

Katanya, teknologi yang telah melalui ujian konsep atau proof of concept (POC) di Sarawak itu berupaya menghasilkan pengeluaran lebih tinggi berbanding kaedah torehan biasa dan dijangka diperluaskan ke Semenanjung pada tahun hadapan.

“Teknologi ini juga membolehkan lateks atau susu getah mengalir terus ke dalam cawan bertutup tanpa perlu ditoreh sekali gus mengatasi kekangan aktiviti menoreh ketika hujan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

571
Kongsi :
Previous post BUKA PELUANG KEDUA KEPADA KLIEN PUSPEN DALAM SEKTOR AGRIKOMODITI
Next post PRN MELAKA: USAHA BN DI REMBIA REDAKAN BANJIR, PENDUDUK SUNGAI PETAI LEGA