PRN MELAKA: USAHA BN DI REMBIA REDAKAN BANJIR, PENDUDUK SUNGAI PETAI LEGA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

REMBIA 3 November – Pembinaan longkang baharu di Kampung Sungai Petai berjaya mengatasi masalah banjir berulang yang sekian lama membelenggu sebuah keluarga di kawasan berkenaan setiap kali hujan lebat.

Penduduk, Wahid Abdul, 44, berkata masalah itu sebelum ini berpunca daripada keupayaan longkang sedia ada yang tidak mampu menampung aliran air deras dari kawasan lebih tinggi, khususnya sekitar Taman Sungai Petai.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan air mudah melimpah dan memasuki kediamannya sehingga mengganggu waktu rehat serta merosakkan barangan rumah.

Katanya, masalah berkenaan akhirnya mendapat perhatian selepas beliau mengemukakan aduan menerusi Ketua Pemuda Cawangan Kampung Sungai Petai sebelum dibawa kepada pihak berkaitan, termasuk Datuk Fairul Nizam Roslan yang menjadi Penyelaras DUN Rembia sebelum ini.

“Setiap kali hujan, rumah saya akan banjir. Kita nak tidur pun tak boleh kerana air terlalu cepat masuk, malah barang-barang di dalam rumah juga terjejas.

“Alhamdulillah, selepas pembinaan longkang ini, masalah banjir sudah tiada lagi dan saya boleh tidur dengan aman walaupun hujan lebat,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Petai, di sini, pada Isnin.

Wahid berkata, usaha pembinaan longkang itu turut mendapat bantuan calon Barisan Nasional (BN) DUN Rembia, Ahmad Norazril Abdul Aziz, yang juga calon nombor dua di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Menurutnya, kerja pembinaan longkang berkenaan mengambil masa kurang dua bulan untuk disiapkan dan memberi perubahan ketara kepada keadaan kediamannya yang sebelum ini kerap dimasuki air.

Justeru, dia berharap usaha menangani masalah infrastruktur dan keperluan penduduk seperti itu dapat diteruskan supaya isu yang sekian lama membelenggu masyarakat setempat tidak dibiarkan berlarutan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

372
Kongsi :
Previous post 50 DEPOH LATEKS BAHARU DISASAR DIBINA MENJELANG 2027
Next post TOK HAMEED SANTUNI PENGUNDI USIA HAMPIR 100 TAHUN DI SUNGAI SIPUT