
PRN MELAKA: BOLA SEPAK SATUKAN JENTERA BN-PAS DI REMBIA
REMBIA 3 November – Perlawanan persahabatan bola sepak antara jentera Barisan Nasional (BN) dan PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia menjadi platform merapatkan hubungan serta mengukuhkan ukhuwah antara kedua-dua parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Calon BN N06 Rembia, Ahmad Norazril Abdul Aziz berkata, pendekatan beriadah menerusi sukan itu mendapat sambutan baik jentera akar umbi, selain membuka ruang interaksi lebih santai antara anggota parti dan golongan muda.
Menurut calon nombor 2 DUN Rembia, hubungan baik yang terjalin menerusi aktiviti seumpama itu diharap dapat diteruskan bukan sahaja sepanjang tempoh pilihan raya, malah untuk jangka masa panjang.
“Sememangnya kita ada ikatan dan ukhuwah yang telah terbina untuk menjelang pilihan raya ini dan seterusnya. Saya lihat akar umbi dan juga di bawah menyambut baik kerjasama yang telah tercetus sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Bersama BN dan PAS N.06 Rembia di Padang Bola Sepak Taman Kebaya, di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajidi Dusuki; Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Wan Zahidi Wan Ismail; Naib Yang Dipertua PAS Alor Gajah, Shamsul Bahrin Mohd Saad serta lain-lain kenamaan.
Perlawanan yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah itu menyaksikan pasukan PAS mencatat kemenangan 3-1 ke atas pasukan BN.
Mengulas lanjut, Ahmad Norazril berkata, hubungan serta persefahaman yang dibina melalui aktiviti bersama itu diharap dapat memperkukuh kerjasama antara jentera kedua-dua parti dalam menghadapi PRN kali ini.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap usaha jentera parti dan sokongan pengundi muda dalam menghadapi persaingan di kerusi berkenaan.
“Saya yakin dengan usaha semua pihak, termasuklah jentera dalam DUN Rembia dan sokongan pengundi golongan muda. Insya-Allah pada 14 hari bulan nanti, DUN Rembia akan dimenangi oleh Barisan Nasional,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


