
400,000 KENDERAAN DIJANGKA MASUK MELAKA SEMPENA TAHUN BAHARU CINA
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata tempoh itu membabitkan dua hari sebelum dan dua hari selepas sambutan perayaan bagi memastikan kelancaran trafik, selain menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Kita menjangkakan kira-kira 400,000 kenderaan masuk ke Melaka menerusi tiga pintu masuk bertol di negeri itu sempena cuti Tahun Baharu Cina minggu hadapan.
“Justeru, arahan henti sementara ini tertakluk kepada semua kerja-kerja pengorekan di jalan raya di negeri ini melibatkan kontraktor di bawah pihak swasta atau kerajaan, dan ia akan dipantau Bahagian Koridor Infrastruktur dan Impak Sosial (BKI) Melaka dan Jabatan Kerja Raya negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dengan kerjasama Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).
Hameed berkata tindakan tegas akan diambil terhadap kontraktor yang dikesan menjalankan kerja-kerja pengorekan tanpa kebenaran dalam tempoh berkenaan, seperti dikenakan arahan gantung kerja, selain dirujuk kepada pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Beliau berkata sekiranya berlaku kecemasan seperti kebocoran paip dan terputus bekalan elektrik melibatkan kabel bawah tanah, permohonan khas perlu dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan mengikut prosedur ditetapkan.
Terdahulu, beliau berkata Operasi Khas Tahun Baharu Cina kali ini membabitkan 112 pegawai dan anggota JPJ yang melakukan pemantauan dan advokasi di sekitar jalan raya di Melaka selain di terminal bas, kawasan rehat dan rawat serta lokasi tumpuan ramai. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

