421,000 belia Melaka diiktiraf!
AYER KEROH 21 Ogos – Seramai 421,000 belia Melaka berusia 15 hingga 40 tahun diiktiraf kerajaan negeri sebagai pemimpin masa hadapan negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, golongan belia merupakan aset berharga dalam menentukan kejayaan setiap agenda pembangunan yang dirangka.
Susulan itu, kata beliau, kerajaan negeri akan terus menyokong segala agenda pembangunan belia, selain bersedia mendengar pendapat dan cadangan yang dilontarkan anak muda di negeri ini.
“Dengan tema ‘Ini Masa Kita’ sempena Hari Belia Negara tahun ini, ia melambangkan masanya untuk anak muda yang akan menggalas tanggungjawab mentadbir dan mengurus negara.
“Jadi, mereka boleh melontar idea dan memberi pandangan kerana di pihak kerajaan negeri kita akan menerima apa sahaja pandangan dan akan memberi perhatian terhadap agenda pembangunan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka di Dataran Sejarah Ayer Keroh, malam tadi.
Hadir sama Exco Belia dan Sukan negeri VP Shanmugam; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman; Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Khairul Adri Rosli.
Turut hadir Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Ngwe Hee Sem; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Adun Asahan Fairul Nizam Roslan; Adun Taboh Naning Zulkiflee Mohd Zin dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh.
Terdahulu, Sulaiman dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada anak muda yang terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Melaka sebuah negeri yang lebih maju, sejahtera dan lestari.
Katanya, majlis itu juga diadakan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan, komitmen, kecemerlangan dan daya usaha seluruh warga belia di negeri ini.
“Saya difahamkan, pelbagai program dilaksanakan sepanjang dua hari sambutan diadakan, yang saya yakin banyak memberi manfaat kepada anak muda daripada segenap sudut, berteraskan kepada enam segmen iaitu Modal Insan, Gaya Hidup Aktif, Ekonomi; Kreativiti, Inovasi dan Digitalisasi; Kenegaraan dan Patriotisme dan Dari Belia untuk Belia.
“Oleh sebab itu, kerajaan hari ini mengambil pendekatan melaksanakan tanggungjawab bersama rakyat khasnya golongan belia, lantaran peranan penting yang dimiliki belia dalam menentukan kejayaan setiap agenda pembangunan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.