46 korban banjir dilaporkan, 5 lagi masih hilang – KPN

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SHAH ALAM, 25 Dis – Sebanyak 46 mangsa korban banjir dicatatkan setakat 4 pagi tadi, dengan lima lelaki di Pahang dilaporkan masih lagi hilang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 25 kematian dicatatkan di Selangor membabitkan 17 lelaki dan lapan wanita, manakala di Pahang sejumlah 18 kematian membabitkan 12 lelaki, empat perempuan dan dua kanak-kanak lelaki dilaporkan.

Katanya di Kelantan pula dua mayat lelaki dan satu mayat kanak-kanak perempuan telah ditemukan.

“Masih terdapat 334 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tujuh negeri iaitu Kelantan, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Selangor membabitkan 54,532 mangsa banjir,” katanya pada sidang media Ops Banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, Pahang mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir iaitu seramai 29,108 mangsa, diikuti Selangor 23,302 mangsa.

Menurut Acryl Sani 68 lokasi jalan terjejas banjir ditutup antaranya di Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Sebanyak 15 kes dilaporkan membabitkan 10 laporan pecah rumah dan premis perniagaan serta lima kes kecurian kenderaan di seluruh negara dari 17 hingga 24 Dis,” katanya.

Acryl Sani berkata seramai 377 anggota dikerah di seluruh negara bagi memastikan kes jenayah seperti pecah rumah dan curi kenderaan di kawasan banjir tidak berulang.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

698
Kongsi :
Previous post Jarak masa baharu terima dos penggalak diumum minggu depan – Khairy
Next post Banjir: 237 rumah terjejas terima bantuan kelengkapan asas
Ubah saiz-+=