
5 PENCAPAIAN UTAMA WRUR BUKIT KATIL
BUKIT KATIL 20 Disember – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil yang berlangsung selama dua minggu sejak 7 Disember lalu berjaya menghasilkan lima pencapaian utama.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian pertama adalah tumpuan kepada pendidikan pelajar DUN Bukit Katil, di mana Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Demang Hussin bakal menerima Bangunan Baharu 12 Bilik Darjah menerusi peruntukan RM20.1 juta daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Selain itu, beliau memaklumkan, bahawa KPM turut meluluskan peruntukan sebanyak RM19 juta bagi perolehan tanah untuk pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil 2 dan SK Bukit Katil.
Pada masa yang sama, Kementerian Sumber Manusia turut memperuntukkan RM15 juta bagi tujuan menaik taraf struktur fizikal bangunan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil yang dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2028.
Menurut Ketua Menteri, pencapaian kedua merupakan usaha memperkasa ekonomi rakyat dengan memberi pelbagai inisiatif kepada para peniaga dan penjaja Bukit Katil.
Antaranya, ujar beliau, Taman Saujana Permai kini dilengkapi dengan sebuah Medan Penjaja bernilai RM475,000 yang telah diserahkan surat tawarannya kepada para peniaga pada 16 Disember yang lalu, melibatkan lapan lot niaga baharu yang lebih selesa dan tersusun.
“Bagi pencapaian ketiga, Kerajaan Negeri juga komited menyediakan jaringan jalan raya yang selamat dan antara projek utama yang diluluskan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Kerja Raya di bawah RMK-12, ialah pembinaan jalan baharu dari Bukit Katil ke Taman Puncak dengan kos RM27.6 juta serta naik taraf Jalan Tun Hamzah dari Persimpangan JPJ ke Persimpangan Semabok Lebuh AMJ dengan kos RM300 juta.
“Sebagai usaha berterusan menyelesaikan aduan berkaitan infrastruktur, Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah (PDTMT) memperuntukkan RM580,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan merangkumi jalan kampung, naik taraf sistem perparitan dan fasiliti rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program WRUR DUN Bukit Katil di SMK Bukit Baru, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil, Adly Zahari.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pencapaian keempat adalah dalam aspek perumahan di mana pelbagai pembangunan sedang dirangka di Bukit Katil, antaranya projek Residensi Bukit Katil bernilai RM91 juta, melibatkan pembinaan 407 unit kediaman jenis apartment yang akan dilaksanakan Perbadanan PR1MA Malaysia.
Jelas beliau, projek perumahan baharu itu penting dalam merealisasikan sasaran 88 peratus rakyat Melaka memiliki rumah sendiri menjelang tahun 2030.
Denyut nadi rakyat kurang bernasib baik turut diambil cakna apabila Ketua Menteri memaklumkan dua keluarga telah menerima manfaat daripada program gotong-royong mengecat dan baik pulih rumah melibatkan kos RM16,000 melalui Program Bandaraya Penyayang anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di DUN Bukit Katil.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) turut melaksanakan gotong-royong baik pulih sebuah rumah dengan nilai sekitar RM3,500.
“Pencapaian kelima adalah memberi perhatian terhadap kebajikan warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) membabitkan penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bukit Baru, di mana setakat hari ini seramai 40 warga emas aktif mengikuti program yang disediakan, dengan sokongan geran RM50,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Bagi golongan OKU, kerajaan turut menyalurkan geran RM238,000 kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bukit Baru yang memberi manfaat kepada 37 peserta OKU,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


