62 penganjur bazar Aidilfitri akan dipanggil semula- EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 April – Seramai 62 penganjur bazar Aidilfitri seluruh Melaka akan dipanggil semula oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa terdekat.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan berkata kesemua penganjur dipanggil bagi menjelaskan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di bazar-bazar.

Katanya, perjumpaan tersebut bagi memastikan penganjur faham dan mematuhi serta melaksanakan semua prosedur operasi standard (SOP) terutama mengenai penjarakan fizikal sepanjang melaksanakan bazar Ramadan dan Aidilfitri.

“Hari ini saya meninjau keadaan di sini, saya dah tengok sendiri keadaannya dan akan pastikan semua tindakan sewajarnya diambil kira.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, minggu pertama adalah untuk kita didik peniaga, penganjur dan pengunjung mengenai SOP apabila mengunjungi bazar,” katanya pada sidang media selepas melawat Melaka Grand Ramadan Bazar Jalan Hang Tuah di sini malam tadi.

Beliau berkata, sekiranya pihak penganjur bazar tidak melaksanakan SOP ketat, beliau bimbang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Majlis Keselamatan Negeri (MKN) mengambil tindakan termasuk menutup operasi bazar.

“Kena selalu jaga SOP, kita bimbang apabila suka hari ini, nanti di hujung jalan kita terpaksa tutup bazar ekoran tidak mematuhi SOP yang ditetapkan kementerian berkaitan.

“Jadi tindakan lebih tegas akan diambil selepas ini dan kesemua 62 penganjur bazar Ramadan dan Aidilfitri akan kita panggil semula dalam tempoh terdekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

778
Kongsi :
Previous post Pelajar UUM Nur Nabilah selamat tiba di tanah air
Next post Satu kematian disahkan rabies di Selangor – JKNS
Ubah saiz-+=