70 bubu naga dirampas di perairan Sungai Udang

Masa Membaca:58 Saat

GEORGE TOWN, 24 April -Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang merampas 70 set bubu naga bernilai RM8,400 di lima lokasi berbeza di barat laut perairan Sungai Udang, dekat sini semalam.

Pengarahnya Kept Abd Razak Mohamed berkata semua bubu naga itu dirampas di kedudukan 1.6 hingga 2.2 batu nautika barat laut perairan Sungai Udang bermula 2.20 petang hingga 3 petang dalam Op Pertiwi/Benteng Laut.

“Pemantauan berterusan yang dilakukan oleh pasukan operasi Maritim Pulau Pinang petang semalam telah mengesan beberapa pelampung yang mencurigakan di lima lokasi sebelum pemeriksaan menemui 70 set bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Ini adalah rampasan kedua dalam tempoh terdekat yang pihak kami telah merampas 28 set bubu naga di perairan Batu Kawan malam Khamis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

Beliau berkata pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 dan nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang serta tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1102
Kongsi :
Previous post KPDNHEP Melaka rekod 30 kes kesalahan kepenggunaan
Next post KPLB akan laksana program SKoD di 182 kawasan Parlimen
Ubah saiz-+=