76 pelajar kolej vokasional di Melaka Tengah positif COVID-19
MELAKA 18 Jan – Sebuah kolej vokasional di daerah Melaka Tengah diarahkan tutup tujuh hari bermula Jumaat lalu susulan 76 pelajarnya positif COVID-19.
Exco Kesihatan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jumlah kes positif berkenaan adalah hasil saringan dijalankan terhadap 176 individu selepas seorang pelajar dikesan indeks pertama kes terbabit.
Katanya, sehingga semalam seramai 71 kes positif membabitkan pelajar lelaki manakala lima adalah pelajar perempuan.
“Hasil saringan kesemua kontak rapat sehingga semalam mendapati 76 daripadanya positif manakala 97 negatif dan tiga lagi masih menunggu keputusan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata susulan itu kolej vokasional berkenaan diarah tutup sejak 14 Jan lalu hingga Jumaat ini bagi mengawal penularan jangkitan berkenaan.
“Kerja-kerja disinfeksi secara menyeluruh telah dilakukan oleh pihak bomba bermula pada 14 Jan 2022 dan dipantau oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah.
“Punca jangkitan kes indeks masih dalam siasatan namun kita tidak menolak kemungkinan pelajar terbabit dijangkiti dari luar berdasarkan mas inkubasi virus yang mana pelajar ini kembali ke sekolah pada 9 Januari lalu sebelum bergejala tiga hari kemudian.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan pelajar ini dipercayai mendapat jangkitan daripada ketidakpatuhan SOP (prosedur operasi standard) di dalam kolej,”katanya.
Susulan itu, penularan jangkitan di kolej vokasional berkenaan diisytiharkan sebagai Kluster Jalan Tun Telani semalam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.