
80 PERATUS ISU KEBAJIKAN DUN DURIAN TUNGGAL SELESAI
DURIAN TUNGGAL 29 Oktober – Sebanyak 80 peratus isu kebajikan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal berjaya diselesaikan hasil kerjasama yang proaktif antara Japerun dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil berkata, walau bagaimanapun pihaknya tidak menafikan masih ada kes terpencil, keciciran atau terlepas pandang.
Zahari berkata, justeru itu pihak Japerun akan sentiasa turun padang bagi mengenal pasti individu atau penduduk yang memerlukan bantuan.
“DUN Durian Tunggal ini saya boleh katakan 80 peratus isu-isu melibatkan kebajikan sudah diselesaikan, tetapi tidak dinafikan mungkin ada yang terlepas pandang.
“Namun jika ada kita akan atasi dengan kerjasama JKM. Bagi memudahkan lagi urusan pihak Japerun akan serahkan borang secara terus kepada JKM,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata demikian ketika ditemui selepas sesi ‘Town Hall’ Exco Bersama Pemimpin Masyarakat Sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Durian Tunggal, di Balai Raya Kampung Bukit Tambun, semalam.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.
Yang turut hadir Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen serta Pengarah JKM Melaka, Halyjah Muhammad.
Menurut Zahari, setiap kelulusan dibuat berdasarkan syarat yang sudah ditetapkan justeru itu antara permohonan yang dikemukakan tidak berjaya.
“Semua pihak perlu faham proses kelulusan mengambil kira pelbagai aspek termasuk penilaian dibuat oleh pegawai JKM.
“Oleh itu sebagai pemimpin menjadi tanggungjawab dan berperanan untuk menerangkan secara terperinci kepada rakyat, ini bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit atau ketidakpuasan hati,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


