861 mangsa banjir dipindahkan ke PPS – APM

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

ALOR GAJAH 21 Okt – Seramai 861 penduduk sekitar negeri ini yang terjejas akibat bencana banjir sejak petang semalam, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) .

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa daripada 231 buah keluarga itu dipindahkan ke 10 PPS yang dibuka sejak pukul 5.30 petang semalam.

Jelasnya, setakat pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 50 kawasan terjejas akibat bencana berkenaan.

“Mengikut pecahan, di Melaka Tengah seramai 146 penduduk dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka,  SK Krubong (125),  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir (91) , SK Batu Berendam 2 (36) dan SK Ayer Molek (64).

“Di Jasin pula adalah di SK Tehel (104), SMK Seri Bemban (80) dan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SKJC) Shuh Yen (71)

“Manakala di daerah Alor Gajah, SK Durian Tunggal (76) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah (68) ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam,  sebanyak 36 kawasan di ketiga-tiga daerah di negeri ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih empat jam sejak pukul 2 petang.

Bencana tersebut turut meragut nyawa seorang anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Diya Che Jusoh, 46, yang meninggal dunia di Hospital Melaka akibat insiden lemas di Kampung Sungai Putat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

369
Kongsi :
Previous post Perlu kaedah jangka masa pendek atasi banjir berulang – KM
Next post KM jamin kepentingan rakyat
Ubah saiz-+=