88,000 warga tentera darat, pasangan undi awal hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SUNGAI UDANG 15 November – Seramai 88,000 warga Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal, di seluruh negara hari ini.

Proses pengundian awal membabitkan pegawai tentera, anggota dan pasangan masing-masing setakat jam 10.45 pagi tadi berjalan lancar.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, secara keseluruhan lebih 113,000 warga TDM layak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan terdahulu 26,000 pegawai serta anggota selesai melaksanakan tanggungjawab itu menerusi undi pos.

“Hari ini adalah untuk proses pengundian awal. Tadi saya turut melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih di Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur. Saya meninjau beberapa lokasi pusat penggundian awal termasuk Kem Terendak bagi memastikan proses itu diselaraskan dengan baik.

“Di Kem Terendak, pegawai dan anggota diberikan tempoh masa tertentu oleh pasukan untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang, jadi mereka tidak perlu berpusu-pusu untuk ke pusat pengundian,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau tiba di perkarangan pusat mengundi awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Terendak 2, Kem Terendak pada jam 10.18 pagi bagi meninjau proses pengundian awal.

Ketibaan beliau disambut Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Rashidin Hashimi Ab Rashid dan Panglima 10 Briged (Para), Brigedier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal.

Untuk rekod, seramai 146,737 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan menunaikan tanggungjawab di 153 pusat mengundi ATM yang diwartakan oleh Suruhanjaya Malaysia (SPR).

Bagi pengundi awal membabitkan tentera darat dan pasangan di Melaka adalah seramai 10,097 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 7,571 pegawai dan anggota tentera serta 1,999 pasangan dari Kem Terendak dan Kem Sungai Udang menunaikan tanggungawab mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1941
Kongsi :
Previous post 2,504 pegawai dan anggota polis Melaka undi awal
Next post Bomba selamatkan OKU warga emas terperangkap dalam banjir
Ubah saiz-+=