9,000 UMAT ISLAM SEKITAR SERI BERTAM BAKAL TERIMA MASJID BAHARU TAHUN HADAPAN

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SUNGAI UDANG 7 September – Pembinaan Masjid baharu di Taman Desa Setia yang dijadualkan siap sepenuhnya tahun hadapan akan memberikan manfaat kepada hampir 9,000 umat Islam di enam taman perumahan sekitarnya, khusus bagi menunaikan solat Jumaat dan ibadat lain.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang Datuk Rais Yasin berkata, masjid kariah baharu Seri Bertam itu dijangka akan mula dibina pada hujung tahun ini dan siap sepenuhnya dalam tempoh satu setengah tahun.

Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, sebelum ini, penduduk terpaksa ke Masjid Bertam Hulu untuk menunaikan solat Jumaat termasuk perlu menyeberangi Lebuhraya Sungai Udang- Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).

“Kemudahan baharu ini mampu menampung sehingga 1,500 jemaah dan memberikan manfaat kepada penduduk Taman Desa Bertam; Taman Bertam Heights; Taman Seri Bertam; Bertam Impian; Taman Bertam Setia serta Taman Bertam Putra.

“Kawasan ini sahaja ada hampir 9,000 penduduk Islam, jadi apabila masjid ini siap sepenuhnya nanti keperluan kemudahan ibadah bagi komuniti setempat semakin berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Sungai Udang di Taman Desa Bertam, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Kariah Baharu Seri Bertam sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Sungai Udang.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Rais berkata, kemudahan itu sangat penting memandangkan Masjid Bertam Hulu yang menjadi tumpuan penduduk merupakan masjid lama dan semakin uzur dan padat.

“Pembinaan masjid ini merupakan perkembangan besar kepada penduduk setempat hasil kerjasama Kerajaan Negeri bersama Malakoff Corporation Berhad menerusi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui Yayasan Albukhary,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

277
Kongsi :
Previous post DI MELAKA, KERAJAAN TURUN CARI RAKYAT
Next post BUKAN AUTA, BUKAN DUSTA..INILAH MELAKA SAYANG RAKYAT