91.32 peratus populasi dewasa di Melaka lengkap divaksin

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

MELAKA 21 Okt – Seramai 618,578 individu atau 91.32 peratus daripada populasi dewasa di negeri ini lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, berdasarkan laporan Vaksinasi Harian Negeri Melaka setakat Isnin lalu sebanyak 626,148 peratus atau 92.43 peratus individu pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagaimanapun, menurutnya, bilangan mereka yang masih belum mengambil vaksin masih besar dan perlu dipertingkatkan memandangkan Melaka kini sudah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Ini bermakna masih ada baki antara lapan dan sembilan peratus lagi mereka yang belum menerima sebarang vaksin…jumlah ini masih agak besar.

“Walaupun kadar vaksinasi populasi dewasa di Melaka telah melepasi kadar 90 peratus, tetapi masih ramai juga yang belum menerima vaksin di negeri ini,” katanya bersiaran dalam segmen ‘Bicara Ketua Menteri’ bersama MelakaFM hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat negeri ini yang masih belum mengambil suntikan vaksin agar segera berbuat demikian bagi membolehkan mereka menikmati manfaat seperti kebenaran rentas, melancong di dalam dan luar negara serta makan di premis makanan.

“Vaksin dapat mengurangkan risiko jangkitan, mencegah daripada mendapat jangkitan yang teruk, mengurangkan risiko kematian akibat COVID-19 serta mengurangkan beban sistem kesihatan.

“Malah, berdasarkan data terkini Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa vaksinasi telah berjaya mengurangkan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke ICU sebanyak 83 peratus dan kadar kematian akibat COVID-19 sebanyak 88 peratus,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan penggiat industri pelancongan di negeri ini supaya memeriksa status vaksinasi risiko COVID-19 pelanggan mereka pada aplikasi MySejahtera bagi meminimumkan risiko berlaku jangkitan di premis pelancongan.

Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan negeri melalui Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) sedang berusaha untuk mencapai 100 peratus penerima dua dos vaksin sebagai pelengkap untuk penggiat industri pelancongan di negeri ini.

Beliau menjelaskan, setakat ini, seramai 43,624 orang atau 98.5 peratus penggiat pelancongan mendapat dua dos suntikan vaksin manakala 1.5 peratus atau 665 orang pula telah menerima suntikan vaksin pertama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

373
Kongsi :
Previous post KM jamin kepentingan rakyat
Next post Cadangan PKR tambah empat kerusi dibincangkan dalam PH
Ubah saiz-+=