98.18 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam lengkap divaksin

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Jumlah penjawat awam yang telah lengkap menerima vaksin COVID-19 mencecah 98.18 peratus setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Ini bermakna hanya baki 1.92 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam yang belum mengambil vaksin itu, katanya.

“Program vaksinasi ini masih lagi berjalan dan dibuat secara sukarela termasuk kepada kakitangan awam,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) yang meminta penjelasan tentang status dan hak penjawat awam yang tidak mahu mengambil vaksin dan adakah kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjawat awam itu.

Menjawab soalan tambahan Shahruddin mengenai bagaimana memastikan orang awam yang enggan mengambil vaksin tidak menjejaskan kesihatan orang awam lain, Dr Abdul Latif berkata setakat ini kerajaan belum bercadang mewajibkan pengambilan vaksin seperti di negara lain contohnya Singapura dan Kanada.

Namun katanya, kerajaan setakat ini menggunakan pendekatan melarang mereka yang enggan menerima vaksin menikmati kemudahan termasuk tidak boleh makan di dalam kedai makan atau aktiviti lain yang boleh dinikmati oleh mereka yang telah lengkap vaksin.

“Dengan cara begini lama-lama mereka akan sedar, mereka tidak boleh hidup tanpa mengikuti nikmat yang orang lain (dapat), mereka juga terdedah kepada risiko jangkitan teruk jika dijangkiti COVID-19,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus melakukan libat urus dengan orang awam termasuk masyarakat Orang Asli bagi memastikan semua golongan sasar menerima vaksin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

476
Kongsi :
Previous post PICK di Melaka berjalan lancar
Next post Jawatankuasa khas lantik pakar patalogi kanan bantu siasatan kes kematian Muhammad Adib
Ubah saiz-+=