Sorting by

×

MELAKA REKOD 666 KES PENIPUAN DALAM TALIAN, KERUGIAN RM19.52 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

REMBIA 21 April – Melaka merekodkan kerugian berjumlah RM19.52 juta yang melibatkan 666 kes penipuan dalam talian bagi tempoh 1 Januari hingga 19 April lalu.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata mengikut pecahan sebanyak 509 kes direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sementara itu 157 kes direkodkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam tempoh yang sama sebanyak 399 tangkapan telah dibuat berdasarkan laporan diterima daripada mangsa.

“Sebanyak 231 pertuduhan telah dibuat. Kebanyakan mangsa adalah golongan berusia 25 hingga 40 tahun yang mana pekerja swasta antara yang paling tinggi ditipu.

“Manakala golongan wanita paling ramai menjadi mangsa penipuan dalam talian dan sindiket cinta atau ‘love scam’. Sementara itu golongan lelaki paling ramai ditipu menerusi sindiket pelaburan tidak wujud,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia di Kompleks Japerun Rembia, di sini, semalam.

Fairul Nizam yang juga Penyelaras DUN Rembia berkata Kerajaan Negeri memandang serius kes penipuan dalam talian dan susulan itu pelbagai usaha serta tindakan dilaksanakan bagi menanganinya.

Jelasnya, kes paling tinggi direkodkan adalah melibatkan love scam dengan nilai kerugian berjumlah lebih RM1 juta.

“Antara mangsa love scam adalah wanita warga emas yang juga seorang usahawan berusia 62 tahun, dia mengalami kerugian lebih RM1 juta.

“Selain itu antara kes yang dilaporkan membabitkan penipuan tawaran khidmat membersihkan rumah, penyaman udara, tawaran kerja dan pembelian kereta tidak wujud,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

818
Kongsi :
Previous post AMENG SPRING BAKAL MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DUN TABOH NANING
Next post JALAN BAHARU TAMBAK PAYA KE LEBUH AMJ STRATEGI PENYURAIAN TRAFIK