Sorting by

×

‘DARI GELANGGANG SILAT KE PENTAS TEATER’

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 Mei – Teater bukan sekadar pentas untuk berkarya dalam bidang seni, tetapi bagi pesilat negara Mohd Al-Jufferi Jamari, ia adalah gelanggang baharu bagi dirinya menterjemahkan perasaan cinta terhadap warisan bangsa dan memahami sejarah secara lebih mendalam.

Tahun ini, juara silat dunia itu tampil bukan dalam satu tetapi tiga pementasan besar anjuran Persatuan Teater Melaka (Pertem) iaitu Teater Bangsawan Sahmura: Empayar Melaka (23-25 Mei), Tinta Runtuhan: Bila Keris Berdenting Berbisik (31 Mei) dan Teater Tradisional Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka (13-15 Jun) dipentaskan di Panggung Bangsawan Melaka.

Berkongsi pencapaian dalam bidang seni, Mohd Al-Jufferi berkata bagi kesemua pementasan itu, dia memegang watak penting seperti Tun Perak, Tun Busu dan Raja Haji.

“Pelakon Eman Manan antara yang membangkitkan semula jiwa saya untuk mendekatkan diri dengan dunia seni ini. Saya akui teater banyak membentuk jati diri dan pemahaman tentang sejarah serta adab orang Melayu. Namun, cabaran yang perlu ditempuh bukan mudah.

“Membawa tiga watak berbeza dalam selang masa yang amat singkat memerlukan bukan sahaja tenaga dan fokus, tetapi juga pemahaman mendalam terhadap karakter yang dilakonkan,” katanya ketika ditemui di Panggung Bangsawan Melaka, baru-baru ini.

Menurut Al-Jufferi cabaran utamanya dalam pementasan itu adalah apabila perlu berdialog dan membuat gerak silat pada masa sama.

“Kita bukan mahu tunjuk pandai bersilat sahaja, tetapi perlu menjiwai watak itu juga. Contoh Tun Perak, tokoh berkarisma, banyak pengorbanan dan lebih mencabar apabila saya akan bergandingan dengan Datuk Jalaluddin Hassan.

“Ilmu dan tunjuk ajar daripada barisan pelakon senior seperti Datuk Jalaluddin Hassan sangat saya dihargai. Beliau mengajar saya mengenai warna dalam lakonan yang mana kita perlu pelbagaikan corak lakonan kita,” katanya.

Bagi Teater Tradisional Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka wataknya sebagai Tun Busu menuntut beliau menyelami perjuangan tokoh itu membantu kakaknya menuntut keadilan atas pengkhianatan terhadap bapa mereka.

Sementara itu, watak Raja Haji dalam pementasan Tinta Runtuhan: Bila Keris Berdenting Berbisik memberi impak paling besar buat dirinya kerana ia bukan sekadar lakonan tetapi realiti sejarah orang Melayu yang pernah dikhianati oleh bangsa sendiri.

“Kita tidak boleh sekadar membaca skrip, kena faham dan selami dulu. Seminggu saya ambil masa untuk melatih dan menjiwai watak itu sebelum menghafal skrip.

“Terima kasih kepada ayah Lokman Ghani dan warga Pertem serta orang Melaka yang menjadi nadi perjuangan ini untuk saya menyambung warisan melalui jiwa dan pentas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

523
Kongsi :
Previous post JIM MELAKA TAHAN 170 PATI DI DUA TAPAK PEMBINAAN
Next post SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-20 PPSPM DAN PERHIMPUNAN BULANAN KERAJAAN NEGERI 26 MEI INI