
PERZIM USAHA DAPATKAN AKSES DOKUMEN SEJARAH MELAKA DI PELBAGAI NEGARA
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri akan memeterai nota kerjasama dengan Jabatan Muzium Malaysia, Arkib Negara Malaysia dan Perpustakaan Negara.
Beliau berkata akses itu termasuk dokumen memaparkan kisah Panglima Awang dan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka sebelum abad ke-15.
“Saya bersama delegasi kerajaan negeri meneruskan lawatan kerja rasmi ke Belanda bagi meneliti sendiri pelbagai catatan, surat dan dokumen bersejarah yang sangat bermakna buat Melaka dan negara kita.
“Penemuan ini mengesahkan bahawa Panglima Awang (Enrique de Malacca), anak jati Melaka, ialah individu pertama dari rantau ini yang berjaya mengelilingi dunia pada abad ke-16,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, semalam.
Menurut Ab Rauf, sekitar 1495 hingga 1500, nama Panglima Awang direkodkan sebagai kru dan jurubahasa penting dalam pelayaran Ferdinand Magellan.
Beliau berkata penemuan itu bukan sekadar mengangkat satu nama tetapi memberi makna baharu kepada sejarah Melaka, menghidupkan kembali satu naratif penting yang mungkin pernah tersisih atau tersasar.
Ab Rauf berkata sudah tiba masanya untuk meluruskan semula sejarah, menghidupkan warisan kegemilangan serta memperkenalkan Panglima Awang sebagai ikon pelayaran, simbol keberanian, kebijaksanaan dan identiti maritim Melaka yang sebenar.
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri menerusi Perzim juga bercadang membangunkan platform digital melibatkan inventori dokumen sejarah negeri itu.
Katanya, platform digital itu akan dibangunkan dengan kerjasama bersama beberapa agensi kerajaan Persekutuan bertujuan menghimpunkan bahan-bahan berharga berkenaan agar dapat diakses dan dimanfaatkan oleh semua, khususnya generasi akan datang. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.