
DUA SRA JAIM DI DUN BEMBAN PERLU TAMBAHAN BANGUNAN BAHARU
BEMBAN 25 Jun – Dua Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban memerlukan tambahan bangunan baharu bagi menampung peningkatan jumlah murid
Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop, berkata permohonan bagi membina dua blok baharu telah dihantar kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan dan peruntukan.
“Menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) ini, kita memang memberi tumpuan kepada projek-projek pembangunan, termasuk infrastruktur pendidikan agama.
“Keutamaan kita kini adalah pembinaan blok tiga tingkat yang baharu di SRA JAIM Kampung Tehel serta tambahan bangunan di SRA JAIM Air Panas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Kuliah Dhuha Perdana sempena Program Jelajah Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Masjid Saidina Osman, Felda Tun Ghaffar Ayer Kangkong, di sini, hari ini.
Menurutnya, terdapat enam buah SRA JAIM di DUN Bemban dan dua sekolah berkenaan dikenal pasti sebagai paling memerlukan penambahan kemudahan.
“Permohonan telah dihantar secara rasmi dan kita kini menunggu kelulusan serta peruntukan daripada Kerajaan Negeri bagi merealisasikan projek ini.
“Kita berharap permohonan ini mendapat perhatian segera memandangkan kepadatan pelajar dan keperluan fasiliti yang lebih selesa bagi pembelajaran agama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.