
19 PROGRAM KEAGAMAAN SEMARAKKAN WRUR DUN BEMBAN
BEMBAN 25 Jun – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban tidak hanya ditumpukan kepada kaedah penyesaian permasalahan komuniti, sebaliknya turut disulam dengan aktiviti keagamaan dan kerohanian.
Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop, berkata sepanjang dua minggu WRUR berlangsung pihaknya merangkap 19 program keagamaan.
“WRUR ini bukan semata-mata untuk dengar aduan dan cari penyelesaian sahaja, tetapi kita juga merangka pelbagai program keagamaan.
“Antara program disusun adalah kuliah Dhuha, kuliah Maghrib, bicara kadi dan satu ceramah khas yang akan kita anjurkan pada 4 Julai nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Kuliah Dhuha Perdana sempena Program Jelajah Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Masjid Saidina Osman, Felda Tun Ghaffar Ayer Kangkong, di sini, hari ini.
Menurut beliau, program berkenaan dilaksanakan secara jelajah di sembilan buah masjid sekitar DUN Bemban, selain turut melibatkan surau terpilih bagi sesi kuliah Maghrib.
“Selain itu, kita juga akan mengadakan program di semua 31 surau dalam DUN Bemban. Biarpun tempoh WRUR hanya 14 hari, kita cuba susun sebaiknya untuk mengadakan semua program keagamaan ini dalam tujuh hari dengan agihan lokasi secara bergilir,” katanya.
Mohd Raziff berkata, pendekatan tersebut bertujuan merakyatkan lagi pentadbiran DUN Bemban melalui pendekatan menyeluruh yang menyentuh aspek kebajikan, sosial dan kerohanian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.