Sorting by

×

JELAJAH BECA 2,500 KILOMETER, SUNTIK SEMANGAT PATRIOTISME

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDA HILIR 25 Jun – Persatuan Beca Persona Melaka menzahirkan semangat patriotik menerusi cara tersendiri iaitu dengan mengayuh beca sejauh kira-kira 2,500 kilometer (km) mengelilingi semenanjung Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68.

Pengerusi Persatuan Beca Pesona, Rosli Md Zain, berkata kayuhan Jelajah Kayuhan Beca Merdeka 2025 akan bermula 1 Julai ini di hadapan Menara Taming Sari dan dijadualkan berakhir pada 30 Ogos di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir.

Katanya, dia bersama tiga lagi peserta iaitu Mohd Razalie Rafie, 54, Firdaus Jefri, 30, dan Muhammad Ramadan Rosli, 21, menggunakan dua unit beca sepanjang kayuhan yang dijangka mengambil masa selama dua bulan.

“Hasrat merealisasikan kayuhan sudah lama, tetapi tahun ini kami memutuskan untuk teruskan meskipun ianya tidak mudah, kami akan cuba sedaya upaya. Setiap hari kami akan berkayuh sejauh 50 km, memasuki kampung dan daerah seluruh semenanjung, mengedarkan Jalur Gemilang, sekali gus menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan penduduk Malaysia.

“Kami tidak tetapkan hentian khusus untuk bermalam, semuanya bergantung kepada kesesuaian, jika ada masjid berhampiran mungkin itu akan menjadi persinggahan untuk berehat sebelum menyambung semula kayuhan,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Jelajah Kayuhan Beca Merdeka 2025 disempurnakan Ahli Parlimen Kota Melaka, merangkap Penaung Beca Persona, Khoo Poay Tiong di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Menurut Rosli, selain menyemaikan semangat patriotisme kayuhan ini juga bertujuan membangkitkan semangat kemerdekaan dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

“Kami akan cuba sehabis baik untuk menjayakan misi ini dengan harapan ia akan menjadi kenangan buat generasi akan datang dengan menyuntik semangat cintakan tanah air. Laungan merdeka bukan hanya di bibir tetapi membawa makna mendalam.

“Besar harapan kami agar orang ramai dapat mendoakan supaya misi jelajah ini berjalan lancar dan dipermudahkan segala urusan nanti. Sekiranya diizinkan kami akan masuk juga ke Pulau Langkawi selain daripada laluan sudah ditetapkan.

“Kayuhan ini juga menjadi platform untuk mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan pilihan. Kami berterima kasih kepada pihak yang sudi tampil membantu antaranya Parlimen Kota Melaka dan juga Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

438
Kongsi :
Previous post MELAKA HAB PELANCONGAN PERUBATAN TERKEMUKA, PINTAR DAN MAMPAN
Next post LELAKI MAUT DIHEMPAP RUNTUHAN PAPAN TANDA BATU