Sorting by

×

WRUR DUYONG LEBIH INKLUSIF, FOKUS KOMUNITI SETEMPAT

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 Julai – Sebanyak 12 program telah dirancang di bawah portfolio Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri pada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang bermula esok hingga 26 Julai depan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pelbagai program dirangka pada WRUR DUN Duyong merangkumi pelbagai sektor seperti teknologi maklumat, kesihatan dan kesejahteraan komuniti.

“Kita ada program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK), Jabatan Penerangan serta beberapa lagi agensi termasuk sektor perubatan dan bioteknologi yang akan melaksanakan aktiviti serta program pada WRUR DUN Duyong nanti.

“Sudah semestinya DUN Duyong adalah antara lokasi yang dinanti-nantikan dan ia merupakan edisi keenam WRUR, jadi, kesemua program ini kita susun semula agar lebih relevan dengan latar belakang penduduk Duyong.

“Saya jangkakan dua minggu ini akan menjadi lebih sibuk daripada biasa di Duyong dan saya menyeru rakyat Melaka untuk hadir dan memberikan sokongan sepanjang program berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Makan Malam Vibrant Melaka Conference 2025 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata timbalannya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem telah menyiapkan pelbagai pengisian yang dirangka hasil kerjasama erat antara agensi kerajaan, swasta mengikut kesesuaian demografi serta keperluan komuniti setempat.

“Majlis perasmian dijadual berlangsung pada esok dan dijangka menarik penyertaan meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Pelaksanaan program WRUR kali ini memberi tumpuan khusus kepada kumpulan sasaran yang sebelum ini kurang mendapat perhatian dalam siri terdahulu, seperti klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pesara kerajaan, dan pesara polis.

“Menerusi sesi post-mortem siri-siri WRUR sebelum ini, kita dapati ada kumpulan masyarakat yang tertinggal. Maka kali ini, kita bawa mereka ke DUN Duyong,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1360
Kongsi :
Previous post PERMULAAN TRANSFORMASI BAHARU DUYONG