
CEGAH DEMAM CAMPAK, MELAKA BERI VAKSIN PERCUMA BERMULA 4 OGOS
DUYONG 2 Ogos – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menyeru ibu bapa yang mempunyai anak berumur enam hingga 59 bulan untuk tampil mengambil vaksin tambahan Measles Rubella (MR) bagi mengelak berlakunya peningkatan kes measles atau demam campak.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pemberian vaksin tambahan itu dilaksanakan menerusi Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles Rubella (MRSIA) di seluruh Negeri Melaka.
Beliau berkata, pemberian vaksin tambahan itu adalah percuma kepada kanak-kanak di bawah kategori umur ditetapkan tanpa mengira kewarganegaraan.
“Vaksin tambahan ini boleh diambil bermula 4 Ogos ini selama 10 minggu di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di klinik kesihatan dan klinik desa serta pusat kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“MRSIA ini menyasarkan semua bayi dan kanak-kanak yang berumur enam hingga 59 bulan iaitu mereka yang lahir pada 1 Ogos 2020 sehingga 31 Januari 2025.
“Aktiviti ini adalah secara sukarela yang mana kanak-kanak yang tergolong dalam kumpulan sasaran ini akan diberikan satu dos vaksin MR,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa, di Duyong.
Menurut beliau, sepanjang tahun lalu Melaka mencatatkan sebanyak 74 kes demam campak dengan kadar ‘insidens’ kes baharu sebanyak 72.0 bagi setiap satu juta penduduk.
“Ini menunjukkan berlaku peningkatan kes demam campak walaupun liputan vaksinasi MMR melebihi 97 peratus malah untuk tahun ini pula sehingga minggu ke-30 sebanyak 38 kes disahkan measles dengan kadar ‘insidens’ 36.3 bagi setiap 1 juta penduduk.
“Peningkatan kes demam campak ini bukan sahaja berlaku di Melaka tetapi juga seluruh Malaysia dan ia disyaki berpunca daripada kewujudan jurang imuniti dalam kalangan kumpulan yang tercicir dan migran.
“Jangkitan demam campak dalam kalangan bayi dan kanak-kanak boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang paru-paru, radang otak, cirit-birit teruk serta kematian tetapi ia boleh dicegah melalui vaksinasi awal,” katanya.
Jelas beliau, Kerajaan Negeri menyokong penuh pelaksanaan MRSIA sebagai langkah penting melindungi kanak-kanak daripada ancaman penyakit berjangkit.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.