Sorting by

×

BISKUT TONGKAT AIR TANGAN PESARA GURU

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

REMBIA 21 Ogos – Mungkin ramai yang tidak tahu, biskut tongkat yang menjadi pelengkap hidangan secawan teh atau kopi menjadi kudapan ketika bersantai pada waktu petang yang dipasarkan sekitar negeri ini sebenarnya hasil air tangan pasangan pesara guru dari Kampung Kelemak Dalam.

Mohd Yusof Sulaiman berkata, bermula 1986 dia bersama isteri Hazizah Othman, sudah mula berjinak-jinak dan aktif belajar mengenai cara dan teknik manghasilkan pelbagai jenis roti, kek, kuih tradisional dan snek.

Katanya, jualan makanan berkenaan adalah pendapatan tambahan mereka bagi menampung 10 anak yang ketika itu sedang membesar, meskipun mempunyai pendapatan bulanan sebagai pendidik.

“Pada 2014 iaitu setahun sebelum bersara saya mula membuat perancangan untuk serius dalam bidang ini termasuk mendaftarkan perniagaan atas nama Zah Biskut Roti. Ketika ini kami mempunyai lebih 20 pelbagai jenis produk seperti piza, biskut kelapa, aneka kuih raya dan kek.

“Antara produk utama kami adalah biskut tongkat dan biskut roti yang dipasarkan di lebih tujuh premis sekitar Alor Gajah dan Negeri Melaka. Alhamdulillah kami ada aktiviti untuk ditumpukan selepas bersara, jadi tidaklah bosan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Yusof berkata, ketika ini perusahaan dijalankan di sebuah bengkel di perkarangna kediamannya dibantu empat pekerja yang menyiapkan produk setiap hari mengikut jenis tempahan yang diterima.

Bekas guru kaunseling itu berkata, meskipun sudah berusia, dia tekad meneruskan perusahaan itu kerana berasa puas dapat membekalkan produk berkualiti kepada pelanggan, selain membantu penduduk sekitar kampung menjana pendapatan sampingan.

Malah katanya, produk berkualiti tinggi dihasilkan hasil kesungguhannya dan isteri turut mendapatkan kepercayaan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan beberapa institusi pendidikan termasuk sekolah.

“Kebiasaannya kami akan lebih sibuk setiap kali menjelang Ramadan, sebulan sebelum kedatangan bulan mulia itu kami sudah membuka tempahan. Sudah pasti pembantu kami juga menunggu ketibaan Ramadan kerana sepanjang tempoh itu rezeki mereka juga bertambah, alhamdulillah kerana diberi kesempatan untuk berkongsi rezeki bersama orang lain,” katanya.

Sementara itu Hazizah yang juga bekas guru pendidikan khas berkata, selain aneka kuih mereka juga menawarkan perkhidmatan membekalkan ‘goodies’ terutamanya untuk majlis perkahwinan atau program lain.

“Bukan mudah untuk menghasilkan produk berkualiti kerana apa yang diajar ketika mengikuti kursus perlu disesuaikan mengikut keperluan atau tempahan pelanggan. Jadi saya dan suami perlu ubah atau lakukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) sendiri untuk mendapatkan produk menepati citarasa pelanggan.

“Tetapi alhamdulillah, atas dasar minat, pengalaman dan niat murni untuk membesarkan anak-anak ketika mula terjun dalam bidang ini kami berjaya harungi semuanya dengan tabah, hasilnya sangat manis,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

513
Kongsi :
Previous post MELAKA TUAN RUMAH PERTEMUAN TIDAK RASMI MENTERI AGAMA MABIMS
Next post MERDEKA LEBIH BERMAKNA DI DUN PANTAI KUNDOR