Sorting by

×

WRUR AYER MOLEK: RAKYAT MOHON KESELAMATAN DI SEKOLAH DITAMBAH BAIK

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER MOLEK 6 Mei – Keselamatan pelajar di kawasan sekolah menjadi perhatian apabila menjadi antara aduan yang dikemukakan orang ramai pada Hari Aduan Rakyat bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek Hang Tuah Jaya: Kampung Kita

Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil berkata, menerusi aduan itu beberapa penambahbaikan aspek keselamatan di kawasan sekolah akan dilaksanakan, khususnya berkaitan penandaan garisan kuning.

Menurutnya, garisan kuning di hadapan sekolah berfungsi sebagai langkah kawalan trafik bagi mengingatkan pemandu supaya memperlahankan kenderaan apabila melalui kawasan berkenaan.

“Antara aduan yang diterima adalah berkaitan garisan kuning di hadapan sekolah supaya ibu bapa lebih mudah menghantar anak-anak dan dalam masa sama meningkatkan tahap keselamatan pelajar.

“Walaupun ada pandangan mengatakan garisan kuning yang terlalu tebal kurang sesuai, namun ia sebenarnya berfungsi sebagai peringatan kepada pemandu supaya memperlahankan kenderaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Zahari berkata, kebanyakan sekolah di negeri ini telah dilengkapi dengan garisan kuning, namun tahap keselamatan di kawasan berkenaan masih banyak bergantung kepada sikap pengguna jalan raya.

“Masih terdapat segelintir pemandu yang tidak peka dan gagal mengurangkan kelajuan apabila melalui kawasan sekolah. Jika sudah ada garisan kuning, pemandu sepatutnya memperlahankan kenderaan.

“Ini soal sikap dan kesedaran pengguna jalan raya, kita harap semua pihak dapat bertolak ansur dan lebih bertanggungjawab demi keselamatan anak-anak di kawasan sekolah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

174
Kongsi :
Previous post PERPUSTAM SASAR BUKA DUA PERPUSTAKAAN KERJASAMA TAHUN INI