DALAM SIBUK BERKEMPEN, RAIS TURUN HARUNG BANJIR DEMI RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

BEMBAN 10 November – Kesibukan berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 tidak menghalang Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin turun padang meninjau keadaan banjir serta menyantuni penduduk terjejas di Bemban, malam tadi.

Beliau berkata, tanggungjawab sebagai wakil Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran kerajaan sementara (caretaker) khususnya dalam portfolio pengurusan bencana perlu terus dilaksanakan meskipun sedang berdepan kesibukan kempen pilihan raya ketika ini.

Menurutnya, kehadiran beliau bukan sahaja bagi bertemu penduduk yang berdepan musibah, malah untuk meninjau sendiri situasi banjir dan mengenal pasti tindakan yang masih perlu diambil bagi menangani masalah berkenaan.

“Saya masih lagi dalam keadaan sekarang sebagai seorang Exco di bawah kerajaan caretaker untuk portfolio banjir ini. Jadi, apabila dapat tahu sahaja kita ada rakan-rakan yang menghadapi musibah di sini, sebagai wakil Kerajaan Negeri, saya rasa bertanggungjawab untuk menyantuni rakyat dan mencari jalan penyelesaian.

“Mungkin pada waktu ini, tidak banyak dapat kita lakukan, tetapi sekurang-kurangnya kita ada bersama dengan rakyat yang terkesan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas meninjau situasi banjir di Kampung Gapam, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ir. Mohd Adnan Ahmad Fauzi dan Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom.

Rais yang juga calon Barisan Nasional (BN) nombor 3 bagi kerusi N.11 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang berkata, hasil tinjauan mendapati masih terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan bagi mengurangkan risiko banjir di negeri ini.

“Alhamdulillah, tanggungjawab tetap tanggungjawab yang mesti kita hadapi walaupun sibuk berkempen dan sebagainya. Masalah rakyat itu kita mesti utamakan, insya-Allah,” katanya.

Mengulas usaha menangani masalah banjir sekiranya Kerajaan Negeri diberikan mandat baharu, beliau berkata, komitmen itu akan diteruskan memandangkan Melaka masih mempunyai 102 kawasan titik panas banjir berbanding lebih 150 kawasan sebelum ini.

Katanya, usaha mengurangkan jumlah kawasan berisiko itu tidak boleh terhenti kerana masih terdapat lokasi yang memerlukan perhatian dan tindakan lanjut.

“Kita tidak mungkin dapat meninggalkan perkara ini. Kita tidak ada apa yang kita nak sorok. Memang banjir ini bukan sahaja di Melaka, malah di seluruh Malaysia.

“Tetapi tugas saya dan Kerajaan Negeri adalah memastikan rakyat berada dalam keadaan selamat dan apabila berlakunya musibah banjir, kita mesti turun menyantuni rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1023
Kongsi :
Previous post TPM MAHU PERKENAL KURSUS E-SUKAN DI INSTITUSI TVET MARA
Next post PRN MELAKA: HELMY MAHU BANGUNKAN EKOSISTEM E-SUKAN DI DUYONG