PELABURAN BUKA PELUANG PEKERJAAN UNTUK RAKYAT MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER LIMAU 11 November – Kemasukan pelaburan ke Melaka bukan sekadar merancakkan pembangunan ekonomi negeri, malah berupaya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, setiap pelaburan yang dibawa masuk ke negeri ini pastinya memerlukan tenaga kerja bagi menggerakkan operasi syarikat, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada rakyat tempatan.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, pelaburan bukan sekadar melibatkan suntikan modal atau pembinaan bangunan, sebaliknya turut disusuli keperluan menyediakan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja yang bakal mengisi sektor berkenaan.

“Pastinya orang (pelabur) yang datang melabur, dia bukan hanya melabur dan mencurah duit untuk membuat bangunan sahaja sebaliknya di dalam tu mesti ada orang bekerja.

“Pastinya pelaburan itu mencerminkan peluang pekerjaan dan tenaga kerja yang bakal dibekalkan oleh Kerajaan Negeri dan menghidangkan kepada rakyat untuk mendapat pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau yang turut dihadiri penyandang kerusi DUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, di Jeram, di sini, hari ini.

Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan, pelaburan berjumlah RM28.96 bilion yang direkodkan Melaka sepanjang 2023 hingga 2025 berpotensi mewujudkan 25,100 peluang pekerjaan menerusi pelaksanaan 752 projek di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan itu perlu disusuli persediaan tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran bersesuaian bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.

Beliau berkata, pembangunan industri seperti Elkay 2.0, German Technology Park (GTP) dan Melaka Halal Hub 2.0 turut membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta memerlukan tenaga kerja dengan kepakaran khusus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

114
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: RM14.68 BILION PELABURAN, 15 JUTA PELANCONG JADI TARUHAN BN