
GELOMBANG BIRU MEMUNCAK, BN-PN YAKIN RAIH KELEBIHAN DI MELAKA
TANJUNG BIDARA 11 November – Gelombang sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) di Melaka dilihat semakin mengukuh menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengukuhan sokongan juga adalah hasil kerjasama dengan rakan strategik Perikatan Nasional (PN), sekali gus diyakini mampu memberikan kelebihan kepada gabungan itu.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, perkembangan semasa politik negara termasuk situasi di Putrajaya turut dilihat berpotensi mempengaruhi kecenderungan pengundi pada 14 November ini.
Menurutnya, berbaki beberapa jam sebelum hari pengundian, momentum gelombang biru semakin dirasai dan mendapat sambutan daripada rakyat pelbagai lapisan di negeri ini.
“Selain itu sedikit kecelaruan politik di Putrajaya yang sepatutnya tidak berlaku, tetapi ia berlaku juga dilihat akan memberikan kelebihan kepada gabungan BN-PN pada 14 November ini,” katanya.
Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.02 Tanjung Bidara berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Ceramah Kempen DUN Tanjung Bidara di Cawangan Bidara Palma, di sini, malam ini.
Ab Rauf yang juga calon nombor 2 DUN Tanjung Bidara bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai potensi gabungan BN-PN akan menang lebih 21 kerusi.
“Menang lebih daripada 21 kerusi, itu tunggu dulu. Insya-Allah,” katanya ringkas.
Sementara itu, menyentuh perkembangan jentera kempen di DUN Tanjung Bidara, beliau berkata semangat gelombang biru ketika ini semakin mendapat tempat dalam kalangan pengundi.
Justeru, beliau berharap momentum berkenaan dapat diteruskan bagi memastikan kerusi N.02 DUN Tanjung Bidara kekal di bawah penguasaan BN.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

