TPM MAHU PERKENAL KURSUS E-SUKAN DI INSTITUSI TVET MARA

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

DUYONG 10 November – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu kursus berkaitan e-sukan diperkenalkan di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA bagi membangunkan bidang berkenaan sebagai industri kerjaya masa depan.

Beliau berkata, pembangunan pendidikan e-sukan itu akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi penawaran kursus bermula pada peringkat persijilan sebelum dikembangkan kepada diploma dan seterusnya ijazah menerusi Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Menurutnya, institusi pendidikan MARA berpotensi dijadikan pusat latihan bagi melahirkan lebih ramai bakat muda yang bukan sahaja berkemahiran dalam permainan elektronik, malah mampu menyumbang kepada pembangunan ekosistem industri berkenaan.

“Dalam jangka panjang, kita mesti menjadikan e-sukan ini sebagai satu industri.

“Sebab itu kita akan menawarkan kursus e-sukan supaya kandungan dan bahan dalam industri ini dapat diwujudkan menerusi institusi MARA.

“Kursusnya bukan hanya sekadar kursus persijilan, tetapi kita akan tingkatkan kepada diploma dan UniKL bersedia untuk melancarkan pengajian supaya mereka dapat ijazah dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah E-sukan Melaka Biru 2026 di Restoran Selera Hang Tuah, Permatang Duyong, di sini, malam tadi.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) DUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; calon BN DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin serta Presiden E-Sukan Malaysia, Muhammad Naim Al Amin Saharudin.

Terdahulu, program yang diadakan serentak di seluruh DUN Melaka itu disertai seramai 3,200 peserta menyertai Jelajah E-sukan Melaka Biru 2026.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pembangunan ekosistem e-sukan juga perlu merangkumi penghasilan kandungan dan bahan berkaitan industri itu bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta menjana pendapatan kepada golongan muda.

Katanya, pencapaian pasukan SRG yang mewakili Malaysia di pentas dunia sehingga muncul juara dunia dengan membawa pulang hadiah bernilai AS$1 juta membuktikan potensi besar bidang berkenaan untuk berkembang sebagai industri berdaya saing.

Justeru, beliau berharap penglibatan institusi MARA dalam pembangunan pendidikan e-sukan dapat melahirkan lebih ramai pemain dan penggiat industri tempatan yang berupaya bersaing di peringkat antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

190
Kongsi :
Previous post ANTHONY LOKE LETAK JAWATAN: SENDIRI JANJI, SENDIRI TANGGUNG – KA SIONG