
PRN MELAKA: KERJASAMA JENTERA BN-PN DI MELAKA LUAR BIASA – AHMAD MARZUK
SERKAM 10 November – Kesepakatan jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Melaka disifatkan luar biasa apabila kerjasama antara kedua-dua gabungan itu turut dizahirkan menerusi komitmen membantu gerak kerja kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara itu dapat dilihat berdasarkan pengalaman beliau sendiri yang turun membantu kempen di Melaka apabila rakan-rakan politik daripada kedua-dua gabungan saling memberikan sokongan.
“Kita balik Kelantan sekejap, kita rasa tak boleh, kita kena datang balik. Sebab rakan-rakan kita di sini bertubi-tubi call (telefon), WhatsApp, minta tolong datang.
“Ini menunjukkan satu kerjasama yang sangat luar biasa dan saya seronok apabila sampai ke Melaka melihat suasana seperti ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Ceramah Gelombang Biru di Balai Islam Serkam Darat, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Merbok Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dan calon BN DUN Serkam, Datuk Azman Abdullah.
Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, semangat kerjasama itu perlu terus diperkukuh bagi mengelakkan pertembungan sesama parti yang boleh menyebabkan undi berpecah dalam sistem pilihan raya.
Katanya, kesepakatan jentera di peringkat akar umbi juga penting bagi memastikan setiap gerak kerja kempen dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


