
PRN MELAKA: ZAHID HARAP MOMENTUM UNDI AWAL DIBAWA KE 14 NOVEMBER
TABOH NANING 10 November – Peratusan keluar mengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang mencecah 94.96 peratus disifatkan perkembangan positif oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berharap momentum itu dapat dikekalkan sehingga hari pengundian pada 14 November ini bagi memastikan lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat masing-masing.
Katanya, pencapaian itu hampir menyamai sasaran 95 peratus yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pengundian awal yang berlangsung hari ini.
“Saya berterima kasih kerana telahan daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjangkakan peratusan keluar mengundi sekitar 95 peratus dan jumlah peratusan melebihi 94 peratus itu sangat menghampiri sasaran.
“Jika trend ini berlaku dengan baik, kita harap pada 14 November hari pengundian nanti peratusan pengundi untuk keluar membuang undi akan menjadi lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kemakmuran Pekebun Kecil (PKPK) dan Hari Terbuka RISDA Negeri Melaka 2026 di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), di sini, hari ini.
Berdasarkan statistik SPR, sebanyak 94.96 peratus atau 9,417 daripada 9,917 pengundi awal yang layak mengundi secara fizikal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing setakat penutupan semua 31 pusat pengundian awal pada 5 petang.
Pengundian awal PRN Melaka kali ini melibatkan anggota tentera, pasangan serta anggota polis, manakala hari pengundian bagi keseluruhan 687,697 pemilih berdaftar ditetapkan pada 14 November ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berharap kadar keluar mengundi yang tinggi itu dapat memberikan sokongan kepada usaha jentera BN di peringkat akar umbi.
“Kita harap trend keluar mengundi yang tinggi akan memberikan sokongan kepada usaha kita untuk membirukan seluruh negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

