ANTHONY LOKE LETAK JAWATAN: SENDIRI JANJI, SENDIRI TANGGUNG – KA SIONG

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 November – Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong menyifatkan keputusan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk meletakkan jawatan susulan isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai komitmen politik yang perlu ditanggung sendiri pemimpin terbabit.

Beliau berkata, tiada pihak yang memaksa Anthony membuat janji berkenaan, sebaliknya ia merupakan keputusan yang dibuat atas kehendaknya sendiri.

Menurutnya, perkara itu tidak seharusnya menjadi pertikaian pihak lain memandangkan ia membabitkan komitmen peribadi pemimpin berkenaan.

“Saya tak pernah dengar orang paksa dia (Anthony Loke). Dia yang menawarkan diri untuk berbuat demikian.

“Jadi, saya rasa itu keputusan sendiri. Bagi dia yang telah berjanji, dia rasa nak buat, itu hak dia, biar dia tanggung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Bersama NGO Masyarakat Cina yang disempurnakan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di sebuah restoran di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden MCA, Dr. Mah Hang Soon; Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon; Pengerusi MCA Melaka, Datuk Wira Lim Ban Hong; Timbalan Pengerusi MCA Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem serta Pengerusi Bahagian MCA Kota Melaka, Datuk Wira Gan Tian Loo.

Mengulas isu tahanan rumah Najib, Wee Ka Siong berkata, perkara itu perlu dinilai berdasarkan proses undang-undang selain menghormati prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Beliau menegaskan MCA tidak pernah meminta atau mendesak mana-mana pihak membuat keputusan berhubung perkara berkenaan.

“Keputusan yang dibuat menerusi kuasa Seri Paduka Baginda perlu dihormati dan tidak seharusnya dipertikaikan sewenang-wenangnya,” katanya.

Untuk rekod, Anthony Loke sebelum ini menyatakan kesediaan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian DAP berhubung isu pengampunan bersyarat Najib pada September lalu.

Pada 6 November lalu, beliau menegaskan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa sebaik sahaja Najib dibenarkan pulang ke rumah untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

122
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: AB RAUF YAKIN MCA MAMPU RAIH SOKONGAN MASYARAKAT CINA