PRN MELAKA: BN-PN SASAR MENANG LEBIH 21 KERUSI DUN – AHMAD ZAHID

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PANTAI KUNDOR 10 November – Barisan Nasional (BN) menyasarkan kemenangan melebihi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menerusi kerjasama dengan rakan politik baharu serta peningkatan sokongan rakyat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu didorong keyakinan bahawa sokongan terhadap BN dapat meningkat berbanding pencapaian parti itu pada pilihan raya sebelum ini.

Menurutnya, kerjasama dengan rakan politik baharu serta sokongan semula daripada pihak yang pernah bersama BN diharap dapat membantu gabungan itu memperoleh lebih banyak kerusi pada PRN kali ini.

“Dulu kalau kita menang dengan 21 kerusi, insya-Allah dengan kerjasama semua yang memberikan kepercayaan semula, selain bersama kawan baharu kita, lebih daripada 21 kerusi ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Kakitangan KEMAS Bersama Kepimpinan Tertinggi di Puteri Qashrina Chalet, Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Abdul Kahar Abdullah; Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man; calon Barisan Nasional (BN) N.11 Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; calon BN N.12 Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta kenamaan lain.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan jentera parti supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada kemenangan di peringkat DUN, sebaliknya turut berusaha merampas semula kerusi Parlimen di Melaka pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kita mahu supaya Parlimen yang kita tadbir juga di Negeri Melaka jangan jadi macam dulu. Kita wajib rampas semula kawasan-kawasan Parlimen di Negeri Melaka ini,” katanya.

Beliau turut berharap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh dapat diteruskan dengan sokongan lebih besar daripada rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

368
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: AB RAUF YAKIN ROSLI MAMPU GALAS TANGGUNGJAWAB DI KUALA LINGGI