PRN MELAKA: HELMY MAHU BANGUNKAN EKOSISTEM E-SUKAN DI DUYONG

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

DUYONG 10 November – Penyediaan fasiliti e-sukan di Duyong menjadi antara perancangan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dalam usaha memenuhi aspirasi golongan muda serta membuka ruang kepada mereka mengembangkan minat dan bakat dalam bidang berkenaan.

Beliau yang juga calon nombor 2 N.21 Duyong berkata, kemudahan itu tidak memerlukan peruntukan atau prasarana yang terlalu besar, sebaliknya hanya memerlukan ruang aktiviti, capaian internet yang kukuh serta beberapa kemudahan asas.

Menurutnya, penyediaan fasiliti berkenaan merupakan langkah awal untuk membangunkan ekosistem e-sukan di Duyong, sekali gus memberi peluang kepada anak muda berkumpul, menjalankan aktiviti dan mengasah kemahiran masing-masing.

“Kemudahan yang diperlukan bukan sesuatu yang besar, ia hanya memerlukan ruang, rangkaian internet yang kuat dan selebihnya fasiliti-fasiliti minimum. Saya rasa insya-Allah kita di Duyong akan mulakan langkahnya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas peluncuran Program Jelajah E-sukan Melaka Biru 2026 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Restoran Selera Hang Tuah, Permatang Duyong, di sini, malam tadi.

Hadir sama, calon BN DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin serta Presiden E-Sukan Malaysia, Muhammad Naim Al Amin Saharudin.

Program berkenaan disertai seramai 3,200 peserta menerusi pelaksanaan serentak di seluruh DUN di Melaka.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata, perhatian terhadap perkembangan e-sukan juga merupakan pendekatan untuk memahami aspirasi dan minat golongan muda yang menjadikan aktiviti berkenaan sebahagian daripada kehidupan mereka.

Menurutnya, sebelum ini mungkin terdapat jurang komunikasi sehingga menyebabkan keperluan dan kecenderungan anak muda terhadap e-sukan kurang difahami.

Justeru, beliau percaya pemimpin perlu lebih dekat dengan golongan muda serta memahami perubahan minat dan gaya hidup mereka, berbanding hanya bergantung kepada pendekatan konvensional.

Beliau berkata, e-sukan juga perlu dipandang serius kerana bidang itu berpotensi berkembang sebagai kerjaya, selain kejayaan yang diraih pemain tempatan dalam beberapa pertandingan di peringkat antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

401
Kongsi :
Previous post DALAM SIBUK BERKEMPEN, RAIS TURUN HARUNG BANJIR DEMI RAKYAT