Sorting by

×

BUKAN CUBAAN CULIK, HANYA SALAH FAHAM ‘REBUT PEMADAM’

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 10 September – Polis menafikan terdapat insiden cubaan culik seorang murid lelaki darjah tiga di sebuah sekolah di Ayer Keroh, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebaliknya kejadian itu hanyalah salah faham dipercayai akibat berebut pemadam di antara murid.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah terkesan menerusi aplikasi WhatsApp berhubung kejadian cubaan culik sebelum menerima satu laporan polis daripada seorang wanita berusia 28 tahun.

“Laporan itu dibuat oleh ibu murid terbabit yang menyatakan kebimbangan keselamatan anaknya berusia sembilan tahun selepas dimaklumkan oleh pemandu van bahawa anaknya kelihatan bersama seorang wanita tidak dikenali di luar kawasan sekolah,” katanya.

Menurutnya, terkesan dengan apa yang dikongsikan dalam WhatsApp kumpulan sekolah berkaitan insiden culik dan berkaitan dengan dirinya seorang wanita berumur 44 tahun kemudian turut tampil membuat laporan polis.

“Menerusi laporan dibuat, wanita terbabit memaklumkan semasa kejadian dia ke sekolah untuk mengambil anaknya dan secara tidak sengaja bertemu murid terbabit semasa keluar dari kawasan sekolah.

“Keadaan itu tercetus apabila melihat terdapat murid berebut pemadam sebelum bertanyakan hal berkenaan dan bukannya cubaan culik,” katanya.

Christopher berkata, siasatan dijalankan kemudian mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini dan pihak yang terbabit telah hadir ke balai polis selain bersetuju bahawa apa yang berlaku hanya salah faham.

“Justeru itu saya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tanpa pengesahan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

619
Kongsi :
Previous post JANA PENDAPATAN DARI ‘BELAKANG DAPUR’
Next post DUA SURAU KEM TENTERA MELAKA TERIMA SUMBANGAN BAIK PULIH