
PESERTA PIDATO RUKUN NEGARA PIALA TYT MELAKA MELONJAK TIGA KALI GANDA
AYER KEROH 11 September – Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2025 terus mencatat rekod baharu dalam sudut penyertaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia selepas bilangan peserta pada tahun ini melonjak tiga kali ganda iaitu dari 3,755 orang kepada 9,321 peserta, merentasi seluruh pelosok tanah air termasuk Sabah dan Sarawak.
Malah ujar beliau, lebih membanggakan lagi, pada edisi keenam ini, penyertaan dari Melaka mencatat peningkatan berganda, daripada 2,378 pelajar pada tahun lalu dan kini mencecah 6,505 pelajar menyertai edisi Pertandingan Pidato Rukun Negara pada kali ini.
“Peningkatan luar biasa ini adalah cerminan nyata kesungguhan rakyat khususnya generasi muda dalam menyemarakkan semangat patriotisme serta menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai pedoman hidup,” katanya. ‘
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Pertandingan akhir itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak Profesor Madya Dr. Ainuddin Iskandar Lee Abdullah serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, sejak diisytiharkan pada tahun 1970, Rukun Negara kekal sebagai tonggak penyatuan nasional, di mana selama 55 tahun ia telah menjadi panduan hidup dan pemangkin agenda perpaduan rakyat Malaysia yang merdeka.
Apa yang lebih utama, menurut beliau, Rukun Negara bukan sekadar lafaz ikrar di bibir, tetapi simbol komitmen utuh seluruh rakyat Malaysia dalam membina sebuah negara bangsa yang progresif dan berintegriti.
“Pastinya, pentas pidato ini menjadi medan perpaduan sebenar dalam menghimpunkan anak-anak Malaysia dari pelbagai etnik; Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam satu semangat kebersamaan yang padu.
“Seperti kata pepatah, “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Generasi muda wajar diasuh dengan jiwa patriotisme yang kental, agar kelak mampu memimpin negara dengan berani dan berprinsip,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.