Sorting by

×

‘KERETAPI SARONG’ GEGAR MELAKA ESOK

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

TELOK MAS 12 September – Keretapi Sarong 2025 (KS25) buat julung kalinya bakal menggegarkan Melaka esok bersempena sambutan Hari Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan berkata, program edisi ke-9 itu dijangka mendapat sambutan hangat daripada komuniti apabila menawarkan pelbagai tarikan dan keunikan.

Jelas beliau, program itu bukan sahaja mempromosikan produk pelancongan Melaka, bahkan turut mengembalikan nostalgia kain sarung yang menjadi identiti dan warisan budaya rakyat suatu masa dahulu,

“Program Keretapi Sarong Melaka 2025 akan menampilkan perjalanan unik yang bermula seawal jam 8.30 pagi dari Bangunan Merah (Stadthuys) dan berakhir di Menara Taming Sari.

“Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan dari jam 10.30 pagi hingga 1.30 tengah hari di Menara Taming Sari dengan kerjasama Pertubuhan Karya Seni (PERKASE).

“Kami sangat teruja menanti kehadiran daripada komuniti yang diuar-uarkan bakal memeriahkan Banda Hilir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Jalinan Kasih di Rumah Makan 100 Tahun, Jalan Ujong Pasir, di sini, pada Rabu.

Menurut Nur Azan, program tersebut turut mengukuhkan perpaduan rakyat pelbagai kaum menerusi pelbagai aktiviti santai dan interaktif.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Melaka untuk bersama-sama menyertai Keretapi Sarong 2025 bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia di bumi bersejarah ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

963
Kongsi :
Previous post ‘SUAMI SALAI, ISTERI MASAK’
Next post LEBIH 10,000 UMAT ISLAM ‘HIDUPKAN’ MELAKA BERSELAWAT