CIKGU MUS JANJI GALAS AMANAH, BALAS KEPERCAYAAN PENGUNDI

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

SERI NEGERI 15 November – Kemenangan dengan majoriti 4,647 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 menjadi amanah besar buat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Dr. Mustafa Musa.

Menurutnya, kemenangan itu disambut dengan penuh kesyukuran selain merakamkan penghargaan kepada semua pengundi serta jentera parti yang bekerja keras mempertahankan kerusi Durian Tunggal.

Katanya, penghargaan itu turut ditujukan kepada jentera Perikatan Nasional (PN), UMNO termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri, Friends of BN serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang memberikan sokongan.

“Saya terhutang budi dengan rakyat Durian Tunggal. Terima kasih kepada semua pengundi dan insya-Allah saya akan cuba sedaya upaya menggalas tanggungjawab ini dengan penuh rasa insaf.

“Terima kasih yang tidak terungkap dengan kata-kata dan tidak dapat disebut satu persatu, tetapi dari sudut hati saya yang dalam, saya amat menghargai sokongan diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Mustafa yang mewakili BN memperoleh 10,141 undi, menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Ashraf Mukhlis Minghat yang mendapat 5,494 undi.

Majoriti itu menyaksikan peningkatan ketara berbanding 559 undi yang diperoleh BN pada PRN Melaka 2021 di kerusi berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

128
Kongsi :
Previous post SITI AISYAH TERHARU SOKONGAN PENGUNDI MUDA, TEKAD BINA MASA DEPAN PENGKALAN BATU